Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membuat tuduhan keras terhadap barisan Exco negeri dengan menyifatkan pengumuman berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu perbuatan derhaka.
“Tindakan ahli-ahli EXCO mengeluarkan pengumuman pada 16 September 2026 merupakan suatu perbuatan derhaka terhadap DYMM Tuanku Muhriz.
“Saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap ahli EXCO yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau tidak mengiktiraf pengumuman Exco pada 16 September itu dan menegaskan pendiriannya bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan keras bekas Menteri Besar itu muncul ketika pentadbiran Negeri Sembilan berdepan pertikaian bertalu-talu berhubung cara kemelut tersebut dikendalikan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Aminuddin, pada 9 September kerajaan negeri sendiri menyatakan proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, malah menyifatkannya tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
Namun hanya tujuh hari kemudian, barisan Exco yang sama mengumumkan proklamasi itu telah lengkap dan berkuat kuasa.
“Perubahan pendirian ini sukar difahami,” kata Aminuddin sambil mendakwa menurut UUTKNS, ahli Exco tidak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kedudukan Tuanku Muhriz.
Keadaan semakin kusut apabila Aminuddin berkata Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 13 September telah menegaskan proklamasi berkenaan tidak sah serta Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Malam tadi, Undang Rembau ke-22 Hassan Ab Hamid turut tampil mempertikaikan keputusan Exco dengan menegaskan keputusan pentadbiran tidak boleh mengatasi Undang-Undang Tubuh Negeri.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, kerajaan negeri beralih daripada menyatakan proklamasi itu tidak sah kepada mengesahkannya, sebelum keputusan terbaharu itu pula dipertikaikan oleh DKU, Undang Rembau dan kini bekas Menteri Besar sendiri.
Kemelut yang sepatutnya memerlukan penjelasan jelas daripada kerajaan negeri kini semakin bersimpang-siur apabila persoalan mengenai kuasa, proses dan kesahan keputusan terus dipertikaikan.
#NextStepMalaysia

No comments:
Post a Comment