Ketua Umno Cawangan Pinggiran Sri Baduri, Umno Bahagian Damansara, Datuk Ir Abdul Aziz Abdullah mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 21 September 2026 kerana mendakwa tidak lagi dapat menerima sikap pemimpin Umno di Negeri Sembilan berhubung kemelut dengan institusi diraja negeri itu.
Dalam kenyataan yang disampaikan menerusi rakaman video, Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat selepas beliau berasa marah dan sedih dengan perkembangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Kenapa saya memilih untuk meletakkan jawatan? Kerana saya tak tahan marah dan sedih terhadap sikap pemimpin-pemimpin Umno hari ini yang berada di Negeri Sembilan begitu biadab sekali dengan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz,” katanya.
Beliau berkata dirinya kini bermastautin di Negeri Sembilan dan mempunyai hubungan keluarga dengan negeri berkenaan kerana bapanya merupakan anak jati Negeri Sembilan.
“Walaupun ibu saya orang Johor, tapi ayah saya adalah seorang anak jati Negeri Sembilan,” katanya.
Menurutnya, latar belakang itu menyebabkan beliau mengambil serius perkembangan yang berlaku di negeri berkenaan, khususnya membabitkan hubungan antara kepimpinan politik dengan institusi diraja.
“Saya sebenarnya tak boleh terima sikap biadab yang ditunjukkan oleh Menteri Besar, Exco-exco dan parti Umno di Negeri Sembilan. Saya tak boleh terima,” katanya.
Ketika ini Negeri Sembilan berdepan kemelut membabitkan kerajaan negeri dan institusi diraja.
Pada 20 September, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta selepas Istana Negeri Sembilan menyatakan mereka telah memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim pada 21 September menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan boleh menjalankan tugas seperti biasa berdasarkan tafsiran beliau terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam perkembangan sama, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu yang sedang berlaku di negeri itu.
Abdul Aziz berkata perkembangan tersebut menjadi antara sebab utama beliau mengambil keputusan meninggalkan jawatan dalam Umno.
No comments:
Post a Comment