PAS AKAN JADI ABANG BESAR DAN TELAN UMNO

 






UMNO boleh menang bersama PAS, tapi akhirnya PAS ambil alih kedudukan sebagai parti utama orang Melayu. UMNO akhirnya jadi adik, PAS jadi abang.  


PAS berjaya ranapkan BERSATU, kini giliran UMNO pula untuk diranapkan.


Ini soal survival UMNO sebab kedudukan PAS hari ini dah tak sama macam zaman Muafakat Nasional dulu.


PAS dah ada lebih ramai Ahli Parlimen daripada UMNO dan lebih kuat dalam kalangan pengundi Melayu.


Kalau trend ini berterusan, PAS berpotensi menjadi pusat graviti politik Melayu-Islam.


Jadi satu hari nanti orang Melayu mungkin bertanya: Kalau PAS dah lebih kuat, kenapa masih perlukan UMNO? Kerusi UMNO pula boleh dimakan sedikit demi sedikit.


Dalam Kerajaan Perpaduan, pertindihan kerusi tradisional UMNO dan PH secara relatifnya rendah kerana PH dan UMNO banyak berbeza pasaran. 


Tapi PAS dan UMNO rebut pasaran sama: Kerusi Melayu, Luar bandar, Felda, Kampung, Pinggir bandar Melayu.


Setiap kali PAS berkembang, secara struktural dia masuk ke ruang politik yang selama berdekad menjadi milik UMNO.


Di Melaka pun dah mula nampak masalah ini.


BN mahu mempertahankan 21 kerusinya. PAS kata, pengaruh mereka di kawasan Melayu semakin besar di Melaka berdasarkan keputusan PRU15, jadi mereka berhak dapat lebih banyak kerusi.


Ketua Bahagian UMNO tentu akan terfikir: Kalau seat aku diberi kepada PAS, apa masa depan politik aku?


Lama-lama jenama Melayu-Islam nombor satu juga boleh beralih daripada UMNO kepada PAS.


Sebab secara semula jadi PAS boleh bertanya: Kalau ukurannya siapa lebih Islam, kenapa pilih UMNO dan bukan PAS?


Selama ini salah satu kekuatan UMNO ialah mereka boleh berkata: UMNO bukan sekadar parti Melayu. UMNO ialah parti nasional yang boleh bekerjasama dan mendapat sokongan Melayu, Cina, India serta parti-parti Sabah dan Sarawak.


Tapi kalau UMNO masuk ke medan baharu “siapa paling Melayu-Islam”, UMNO sebenarnya sedang bermain di home ground PAS.


UMNO mungkin masih boleh mendapat jawatan Perdana Menteri jika PAS tidak menuntutnya atau menyerahkannya kepada calon lain.


Tapi kalau PAS mempunyai blok yang lebih besar, sudah tentu PAS juga akan menuntut kedudukan dan pengaruh yang besar dalam kerajaan.


Senario paling ngeri bagi UMNO ialah PAS meninggalkan UMNO selepas UMNO membantu membawa mereka kembali ke Putrajaya.


Trauma Muafakat Nasional masih ada. PAS hari ini boleh mendakwa BERSATU mengkhianati mereka.


Tapi orang UMNO juga masih ingat bagaimana MN akhirnya runtuh apabila PAS memilih untuk terus bersama BERSATU sedangkan UMNO mahukan kerjasama eksklusif UMNO-PAS.


Susah untuk PAS meyakinkan orang UMNO bahawa keruntuhan MN dahulu berpunca daripada UMNO seorang.


Ada satu lagi risiko yang lebih besar. UMNO boleh hilang statusnya sebagai parti nasional.


Ini ancaman jangka panjang yang mungkin akar umbi UMNO belum benar-benar hadam.


UMNO mungkin mendapat tambahan undi daripada penyokong PAS.


Tapi kosnya, UMNO boleh mengecilkan ruang untuk menarik semula Melayu sederhana, bukan Melayu serta rakan-rakan politik di Sabah dan Sarawak.


Sedangkan kelebihan itulah yang UMNO sedang nikmati dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan.


Jadi secara psikologi, akar umbi UMNO hari ini mungkin berfikir: Kalau tak bersama PAS, undi Melayu berpecah.


Tapi ketakutan sebenar mungkin datang kemudian: Kalau terlalu lama bersama PAS, lambat-laun orang Melayu dah tak perlukan UMNO lagi. Itulah paradoksnya.


UMNO mungkin boleh tumpang kekuatan PAS untuk kembali ke Putrajaya. Tapi selepas sampai Putrajaya nanti, siapa sebenarnya menumpang siapa?


Ketakutan UMNO hari ini ialah undi Melayu berpecah. Ketakutan UMNO esok mungkin jauh lebih besar — orang Melayu sudah tidak perlukan UMNO lagi, elok bubar je.



No comments: