MELAYU DAN ISLAM WAJIB DIPERTAHANKAN, TETAPI JANGAN JADIKAN KETAKUTAN SEBAGAI MODAL POLITIK




 Mohd Fadhli Othman





MELAYU DAN ISLAM WAJIB DIPERTAHANKAN, TETAPI JANGAN JADIKAN KETAKUTAN SEBAGAI MODAL POLITIK
(1) Saya membaca tulisan Presiden PAS bertajuk 'DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam'. Panjang tulisannya. Banyak sejarah disentuh, banyak ayat al-Quran dikemukakan dan banyak dakwaan politik dibuat.
Sebagai seorang Melayu dan Muslim, saya tidak mempunyai masalah dengan seruan supaya Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu serta kedudukan Melayu dan Bumiputera dipertahankan. Semua perkara tersebut mempunyai tempat yang jelas dalam kerangka Perlembagaan negara kita.
Persoalannya, apabila tuduhan sudah sampai kepada tahap mengatakan ada pihak sedang menyambung kerja penjajah untuk menghapuskan Melayu Islam, maka tuduhan sebesar itu mestilah datang bersama bukti yang sama besarnya.
(2) Kita perlu membezakan antara fakta sejarah dengan tafsiran politik terhadap sejarah. Memang benar penjajahan British meninggalkan kesan yang sangat besar terhadap struktur masyarakat Tanah Melayu.
Dasar ekonomi kolonial membentuk pembahagian pekerjaan dan penempatan yang sebahagiannya berasaskan kaum. Masyarakat Melayu banyak berada di kawasan luar bandar, masyarakat Cina tertumpu dalam kegiatan perlombongan dan perdagangan, manakala masyarakat India banyak dibawa masuk untuk sektor perladangan dan pekerjaan tertentu.
Kesan struktur ini berpanjangan sehingga selepas merdeka. Itu sejarah yang boleh dibincangkan dan dikaji.
(3) Namun daripada sejarah penjajahan tersebut, kita tidak boleh terus melompat kepada kesimpulan bahawa sebuah parti politik Malaysia pada hari ini sedang menyambung rancangan penjajah British untuk menghapuskan Melayu dan Islam.
Di sinilah fakta sejarah bertukar menjadi dakwaan politik. Dakwaan politik pula memerlukan pembuktian. Siapa merancangnya? Apakah dokumennya? Apakah dasar kerajaan yang melaksanakannya? Apakah undang-undang yang telah digubal untuk tujuan tersebut? Apakah institusi Melayu atau Islam yang sudah dimansuhkan?
Soalan-soalan ini mesti dijawab dengan fakta, bukan sekadar andaian.
(4) Begitu juga apabila sejarah PAP di Singapura dikaitkan dengan DAP di Malaysia. Hubungan sejarah dan ideologi antara kedua-duanya boleh dibincangkan. Konsep Malaysian Malaysia juga boleh dikritik. Saya sendiri berpandangan apa sahaja gagasan politik yang menyentuh kedudukan Melayu, Islam, Raja-raja Melayu atau struktur asas Perlembagaan wajib diperhalusi dan dikritik sekiranya bercanggah dengan kerangka negara.
Namun kita tidak boleh mengambil apa yang berlaku di Singapura puluhan tahun dahulu lalu menjadikannya bukti automatik bahawa setiap tindakan DAP hari ini merupakan kesinambungan rancangan penjajah British. Sejarah tidak boleh dibaca dengan cara begitu.
(5) Begitu juga dakwaan bahawa 'DAP mendominasi Pakatan Harapan' atau 'DAP menguasai kerajaan'. Dominasi dari sudut apa?
Bilangan kerusi? Jawatan Perdana Menteri? Jemaah Menteri? Dasar kerajaan? Penggubalan undang-undang? Kuasa eksekutif? Kalau benar sebuah parti menguasai kerajaan, tunjukkan mekanisme penguasaan tersebut.
Jangan sekadar menggunakan perkataan 'dikuasai' kerana perkataan itu mudah menimbulkan ketakutan dalam kalangan Melayu.
(6) Hakikat yang ada di hadapan kita ialah kerajaan Persekutuan masih diketuai seorang Perdana Menteri Melayu-Islam. Sistem Raja Berperlembagaan masih berdiri. Yang di-Pertuan Agong masih menjadi Ketua Utama Negara. Majlis Raja-Raja masih mempunyai kedudukannya.
Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri masih berada dalam kerangka kuasa Raja-raja Melayu dan pihak berkuasa agama masing-masing. Jemaah Menteri pula terdiri daripada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Maka kalau hendak mengatakan bahawa DAP telah menguasai keseluruhan kerajaan, perkara itu perlu dibuktikan melalui struktur kuasa sebenar negara, bukan persepsi semata-mata.
(7) Lebih mudah lagi, lihat sahaja Perlembagaan Persekutuan. Adakah Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sudah dimansuhkan? Tidak. Adakah institusi Raja-raja Melayu telah dihapuskan? Tidak. Adakah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 telah dibuang? Tidak. Adakah kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 telah dimansuhkan? Tidak.
Kalau benar sedang berlangsung suatu projek besar untuk 'menghapuskan Melayu dan Islam', tentulah perkara-perkara asas inilah antara yang perlu ditunjukkan sebagai bukti.
(😎 Perkara yang perlu rakyat faham ialah Malaysia bukan sebuah negara yang struktur asasnya boleh diubah sesuka hati oleh satu parti politik. Ada Perlembagaan. Ada Parlimen. Ada Yang di-Pertuan Agong. Ada Majlis Raja-Raja. Ada kerajaan negeri. Ada badan kehakiman. Ada pembahagian kuasa.
Malah pindaan terhadap beberapa perkara tertentu dalam Perlembagaan mempunyai syarat dan prosedur yang lebih ketat. Sebab itu rakyat perlu dididik tentang bagaimana negara sebenarnya berfungsi, bukannya sekadar diajar siapa yang perlu mereka takuti.
(9) Saya juga sangat berhati-hati apabila ayat al-Quran digunakan dalam pertarungan politik. Al-Quran memang pedoman tertinggi umat Islam. Tiada siapa mempertikaikannya. Namun ayat al-Quran mempunyai konteks, tafsir dan disiplin ilmu untuk memahaminya.
Ayat berkaitan permusuhan terhadap umat Islam tidak sewajarnya dijadikan jalan pintas untuk membuktikan bahawa sebuah parti politik yang majoriti ahlinya bukan Islam sedang melaksanakan agenda penjajah untuk menghapuskan Islam.
Kalau tuduhan itu berkaitan politik dan pentadbiran, buktikan dahulu secara politik dan pentadbiran. Dalil agama tidak sepatutnya menjadi pengganti kepada bukti.
(10) Lebih menarik, sejarah politik Malaysia sendiri menunjukkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Kedua-duanya pernah berada dalam Barisan Alternatif dan kemudian bekerjasama pula dalam Pakatan Rakyat.
Maka pertanyaan yang wajar dikemukakan ialah, adakah ketika PAS bekerjasama dengan DAP dahulu, DAP belum menjadi ancaman kepada Melayu dan Islam? Kalau ideologinya sudah diketahui sejak awal, mengapa tahaluf politik boleh dilakukan ketika itu?
Kalau PAS dahulu boleh bekerjasama dengan DAP atas beberapa titik persamaan tanpa dianggap menjual Islam, mengapa apabila parti Melayu lain bekerjasama dengan DAP hari ini, kerjasama itu terus digambarkan sebagai usaha menghapuskan Melayu-Islam? Ini bukan soal mempertahankan DAP. Ini soal konsistensi dalam berhujah.
(11) Isu pilihan raya PBT juga perlu diperbetulkan dari sudut sejarah. Pilihan raya kerajaan tempatan bukan dimansuhkan akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Pilihan raya tempatan telah digantung lebih awal pada pertengahan tahun 1960-an sebelum sistem kerajaan tempatan kemudiannya disusun semula.
Kalau kita mahu menentang pilihan raya PBT, tidak mengapa. Bentangkan hujah tentang demografi bandar, representasi penduduk, ketidakseimbangan kawasan, implikasi sosial, kewangan PBT dan kesannya terhadap masyarakat majmuk. Itu namanya perbahasan dasar.
Jangan setiap perbahasan akhirnya ditutup dengan satu ketakutan bahawa Melayu akan hilang.
(12) Begitu juga isu bahasa Inggeris. Memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris tidak secara automatik bermaksud mahu menghapuskan bahasa Melayu. Saya sendiri akan menentang sesiapa sahaja yang mahu merendahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Perkara 152 wajib dihormati. Namun seorang anak Melayu yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin atau bahasa-bahasa lain tidak menjadikannya kurang Melayu. Bahasa Melayu kita martabatkan. Bahasa lain kita kuasai. Kedua-duanya boleh bergerak serentak.
(13) Saya juga tidak bersetuju apabila sesuatu bangsa digambarkan seolah-olah mempunyai satu sifat politik yang sama. Ada Melayu yang rasis. Ada Cina yang rasis. Ada India yang rasis. Ada ahli PAS yang melampau. Ada ahli DAP yang melampau. Ada ahli UMNO, PKR, Amanah dan parti lain yang kadangkala bercakap melampaui batas.
Kesalahan seseorang atau sekumpulan individu jangan dipindahkan kepada seluruh bangsa. Kalau kita benar-benar mahu menentang politik perkauman, jangan pula kita mencipta perkauman baharu untuk melawan perkauman.
(14) Kedudukan Melayu dalam sejarah dan struktur negara ini memang tidak perlu dinafikan. Perlembagaan sendiri mengiktiraf Islam, bahasa Melayu, institusi Raja-raja serta kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera.
Dalam masa yang sama, Perlembagaan turut memberikan kewarganegaraan dan hak kepada rakyat Malaysia daripada kaum lain. Inilah kerangka kenegaraan yang kita warisi dan mesti kita fahami. Mempertahankan Melayu tidak bermaksud kita perlu menjadikan Cina sebagai musuh. Mempertahankan Islam pula tidak bermaksud semua bukan Islam merupakan ancaman.
(15) Sebenarnya saya lebih bimbang kalau politik Melayu terus-menerus dibina atas ketakutan. Setiap beberapa tahun kita diberitahu Melayu sedang terancam. Melayu akan hilang kuasa. Islam akan terhapus. Negara akan dikuasai orang lain.
Sedangkan persoalan yang jauh lebih penting ialah mengapa selepas puluhan tahun merdeka masih ada Melayu miskin? Mengapa sebahagian anak Melayu tercicir dalam pendidikan? Mengapa pemilikan ekonomi Bumiputera masih menjadi cabaran? Bagaimana keadaan tanah rizab Melayu? Bagaimana kita mahu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, doktor, profesional, usahawan dan pemikir Melayu?
(16) Itulah perjuangan Melayu yang saya mahu dengar. Melayu yang kuat ekonominya. Melayu yang tinggi pendidikannya. Melayu yang berintegriti. Melayu yang menguasai teknologi. Melayu yang memahami Perlembagaan. Melayu yang boleh membaca data.
Melayu yang mampu bersaing di peringkat dunia. Melayu yang tidak mudah dipermainkan dengan propaganda daripada mana-mana parti politik. Melayu tidak menjadi kuat hanya kerana takut kepada DAP. Melayu menjadi kuat apabila bangsanya mempunyai ilmu, ekonomi, akhlak, integriti dan keupayaan.
(17) Kalau benar DAP melakukan sesuatu yang mencabar Islam, tunjukkan. Kalau pemimpinnya menghina Raja-raja Melayu, kemukakan kenyataannya dan kita kritik bersama. Kalau ada usaha melemahkan bahasa Melayu, bentangkan dasarnya.
Kalau ada Rang Undang-Undang yang mahu menghapuskan kedudukan Melayu, tunjukkan kepada rakyat. Saya sendiri tidak akan mempertahankan mana-mana parti sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku.
DAP bukan maksum. PAS bukan maksum. UMNO bukan maksum. PKR bukan maksum. Amanah juga bukan maksum.
Semuanya parti politik yang dianggotai manusia. Maka semuanya boleh melakukan kesalahan dan semuanya wajib boleh dikritik.
(18) Di sinilah bezanya politik kepartian dengan politik kenegaraan. Politik kepartian terlalu sibuk bertanya,
“Bagaimana aku mahu memastikan rakyat takut kepada lawan supaya mereka memilih aku?”
Politik kenegaraan pula bertanya,
“Apakah fakta sebenar dan apakah yang terbaik untuk negara?”
Kalau DAP salah, kritik DAP. Kalau PAS salah, kritik PAS. Kalau UMNO salah, kritik UMNO. Kalau PKR salah, kritik PKR. Kalau kerajaan salah, tegur kerajaan.
(19) Saya mahu Melayu kuat. Saya mahu Islam terus dihormati. Saya mahu Raja-raja Melayu terus menjadi tonggak negara. Saya mahu bahasa Melayu terus dimartabatkan. Saya mahu hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan terus dipertahankan. Namun saya juga mahu orang Melayu menjadi bangsa yang cerdik membaca fakta, matang menilai politik dan berani bertanya sebelum mempercayai sesuatu dakwaan.
(20) Malaysia sudah lebih enam dekad merdeka. Rakyat semakin berpendidikan. Perlembagaan boleh dibaca. Hansard Parlimen boleh disemak. Dasar kerajaan boleh dinilai. Data boleh dibandingkan. Sejarah boleh dikaji. Kenyataan pemimpin boleh dimainkan semula.
Maka kalau benar ada pihak mahu menghapuskan Melayu dan Islam, bawakan bukti satu persatu. Kalau benar, kita lawan bersama-sama.
Tetapi kalau yang ada hanyalah andaian, generalisasi, ketakutan dan tafsiran politik yang dibalut dengan sejarah serta ayat al-Quran, kita juga mesti berani mengatakan:
Itu belum menjadi bukti.
Jangan sampai kerana terlalu mahu memenangkan parti, sejarah dijadikan senjata, agama dijadikan perisai dan ketakutan orang Melayu dijadikan modal politik.
Kita boleh berbeza parti. Kita boleh berbeza ideologi.
Tetapi dalam politik kenegaraan, sesuatu tuduhan mesti berdiri atas ilmu, fakta, amanah dan kejujuran.

No comments: