Ayat al-Quran dibawa satu demi satu, Ali ‘Imran 28, 118–120 dan al-Nisa’ 138–140. Tetapi akhirnya seluruh perbahasan dipendekkan menjadi satu formula politik DAP bukan Islam maka dianggap “kafir” dalam kerangka hujah. Kerjasama dianggap haram dan sesiapa yang menyokong DAP pula dipersalahkan secara agama.
Di sinilah masalahnya. Ayat al-Quran tidak boleh dijadikan mesin automatik untuk menghasilkan hukum politik. Ada konteks, ada tafsiran, ada sebab turun, ada perincian hukum dan ada perbezaan keadaan.
Tidak semua ayat berkaitan hubungan Muslim dengan bukan Muslim boleh terus dipindahkan kepada realiti parti politik moden dalam sebuah negara berperlembagaan dan masyarakat majmuk.
Kalau benar mahu mengatakan sesuatu bentuk kerjasama itu haram, jangan berhenti pada petikan ayat dan label politik. Terangkan dalilnya, konteksnya, kaedah istinbatnya dan bagaimana hukum tersebut diterapkan kepada realiti politik semasa.
Jangan bina kesimpulan terlebih dahulu, kemudian mencari ayat untuk mengesahkannya. Ini bukan semata-mata tentang DAP. Ini tentang amanah kita terhadap al-Quran. Nas agama tidak sepatutnya diperah untuk menghasilkan hukum yang kita sudah tetapkan berdasarkan kecenderungan politik.
Al-Quran sepatutnya menjadi sumber petunjuk dan ilmu, bukan alat untuk mengeluarkan “cop haram” terhadap pilihan politik yang tidak kita sukai.
Fiqh politik selesai dalam satu anak panah. Masalahnya, al-Quran bukan manual kempen pilihan raya. Nampak perkataan kafir, terus tampal kepada mana-mana parti yang mahu dijadikan musuh politik.
Nampak awliya’, terus diterjemahkan sebagai “jangan berkawan, jangan bekerjasama, jangan mengundi”.
Sedangkan persoalan yang lebih penting ialah apakah konteks ayat itu, siapa yang dimaksudkan, apakah sifat hubungan tersebut dan apakah sebab larangannya?
Surah Ali ‘Imran 3:118 sendiri menyebut tentang pihak yang menginginkan kemudaratan terhadap orang beriman. Jadi kalau hendak menuduh semua orang bukan Islam atau seluruh ahli DAP termasuk dalam kategori tersebut, mana buktinya?
Jangan pula Surah al-Mumtahanah 60:8–9 dilupakan. Allah membezakan antara mereka yang memerangi dan mengusir umat Islam dengan mereka yang tidak melakukan demikian. Bahkan terhadap golongan yang tidak memerangi kerana agama, Allah tidak melarang umat Islam daripada berbuat baik dan berlaku adil.
Maka persoalannya bukan sekadar ssiapa dia? atau apa agamanya? tetapi lebih penting apakah pendiriannya, apakah tindakannya dan bagaimana bentuk hubungannya dengan umat Islam?
Kalau DAP dikatakan anti-Islam, tunjukkan dasar dan tindakannya. Kalau dikatakan memusuhi umat Islam, kemukakan bukti. Kalau kerjasama tertentu dikatakan haram, jelaskan ‘illah, konteks dan hukum yang tepat.
Jangan tukarkan perbahasan fiqh kepada formula
“Dia bukan Islam, maka semua kerjasama dengannya haram.”
Kalau begitu, sejarah Rasulullah SAW yang bermuamalah dan membuat perjanjian dengan bukan Islam pun mahu diletakkan di mana?
Yang lebih lucu, DAP ialah parti politik, bukan agama. Tetapi dalam naratif ini, seluruh kategori politik disumbat ke dalam satu kategori aqidah, kemudian ayat-ayat tentang hubungan dengan golongan tertentu digunakan untuk menghukum pilihan politik umat Islam.
Itu bukan ketelitian dalam memahami nas. Itu politik yang sedang mencari ayat untuk membenarkan kesimpulan yang sudah dibuat terlebih dahulu.
Mengundi pula bukan akad walak akidah. Memilih wakil rakyat bukan bermaksud mengangkat seseorang sebagai wali dalam pengertian agama.
Dalam demokrasi, rakyat menilai amanah, keadilan, integriti, kemampuan mentadbir, dasar dan maslahat rakyat. Jadi seorang Muslim yang memilih calon bukan Islam kerana menganggapnya lebih amanah atau lebih baik pentadbirannya tidak boleh terus dicop munafik, berdosa atau menggadaikan iman hanya kerana pilihan politiknya berbeza.
Kalau tidak bersetuju dengan DAP, silakan tidak undi DAP. Tetapi jangan ambil hak untuk tidak mengundi DAP lalu menaikkannya menjadi hak untuk menghukum iman orang lain. Lebih-lebih lagi jangan gunakan ayat al-Quran sebagai tukul untuk mengetuk kepala pengundi.
Al-Quran bukan poster kempen. Tafsir bukan senjata propaganda. Dan pilihan politik bukan ukuran automatik iman seseorang. Kalau mahu membawa nama Islam dalam politik, bawalah sekali ilmu, konteks, adab, keadilan dan amanah.
Kalau tidak, jangan hairan apabila orang mula nampak bahawa yang sedang dipertahankan bukan lagi kesucian nas tetapi kesucian naratif politik sendiri.
IBNU ALI


No comments:
Post a Comment