Pagi Jumaat lepas, saya bersama rakan-rakan dari pelbagai latar belakang menerima jemputan khas ke satu sesi bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Tuan Haji Mustakim dan barisan pengurus kanan TH. Tujuan utama pertemuan ini untuk meluruskan segala kekeliruan dan menjawab isu panas berkaitan RCI Tabung Haji yang baru didedahkan oleh kerajaan. Kami diberikan taklimat dan soal jawab selama 2 jam untuk meluruskan kefahaman terhadap isu ini.
1. Krisis Sebenar Bermula Sejak 2014
Bayangkan, TH menguruskan simpanan untuk hampir 10 juta pendeposit, mewakili kira-kira 53% populasi Melayu Islam di Malaysia. Tetapi masalah mula meruncing pada tahun 2014 apabila buat pertama kalinya jumlah liabiliti melebihi jumlah aset. Secara teknikal, TH tidak boleh membayar dividen (hibah) kepada pendeposit kerana tindakan itu melanggar garis panduan Akta TH. Untuk rekod, tahun tersebut adalah tahun pertama Datuk Seri Azeez Rahim bergelar Pengerusi (beliau dilantik pada Julai 2013).
2. Wujudnya "Creative Accounting" & Skim Ala "Pak Man Telo"
Demi meneruskan pembayaran dividen, maka bermulalah era perakaunan kreatif (creative accounting). TH menggunakan kaedah "Realisable Asset Value" (RAV) yang dicadangkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) ketika itu. Gila bukan? Realitinya, kaedah RAV tidak pernah digunakan oleh mana-mana institusi kewangan sebagai kayu ukur untuk bayar dividen. Dongeng kononnya Khazanah turut menggunakan kaedah ini adalah fitnah semata-mata. Hakikatnya, Khazanah hanya menggunakannya untuk unjuran kedudukan kewangan, bukan untuk penanda aras dividen.
Di mana silap pelaburan TH? Luka paling besar berpunca daripada pembelian saham FGV Holdings yang dianggarkan menanggung kerugian mencecah RM1,000 juta (RM1 bilion) pada tahun 2017.
Walaupun kerugian teruk sejak 2014, tiada tindakan cut loss dibuat semata-mata mahu 'menyokong' agensi kerajaan. Sokongan ini akhirnya membawa rebah kepada TH.
Persoalannya, dari mana TH dapat duit bayar dividen sampai 2017? Di sinilah model ala "Pak Man Telo" diguna pakai. Wang amanah pendeposit dipusingkan sebagai modal dividen semata-mata atas arahan menjaga imej kerajaan masa itu. Malah, kaedah pengiraan dividen juga terpaksa diubah menggunakan baki akaun terendah tahunan.
3. Isu Subsidi Haji: Sudah Terpesong Dari Konsep Asal Agama
Sejarah bantuan haji bermula pada 2001 (zaman Tun Abdullah Badawi), di mana kos haji dibayar penuh oleh jemaah dan TH cuma memberi wang saku RM500. Namun lama-kelamaan, ia ditukar menjadi bentuk subsidi sehingga TH kini terpaksa menanggung lebih 50% kos jemaah.
Tahukah anda, sistem ini telah lari jauh dari konsep asal ibadah Haji iaitu istitoah (berkemampuan). Jika jemaah perlukan subsidi (bantuan), maka mereka diklasifikasikan sebagai tidak mampu dan gugurlah kewajipan ke atas mereka. TH ditubuhkan sebagai tempat orang Islam menyimpan duit haji, BUKAN badan kebajikan meminta bantuan ke Mekah. Akibat pembayaran dividen langgar akta dan bebanan subsidi ini, kewangan TH akhirnya membarah dengan sangat teruk.
4. Hampir Musnah Pada 2017 & Fakta Fitnah Jual Aset
Tahun 2017, kerugian TH mencecah tahap paling kritikal iaitu RM4.1 BILION. Kalau masa tu semua orang panik dan keluarkan duit, TH memang hancur dan tidak mampu bayar pun hak pendeposit sebab wang tersebut telah dipusing untuk dividen dan subsidi.
Disebabkan itulah, kerajaan baharu pada 2018 terpaksa mewujudkan Urus Harta Jemaah (UJSB) (sebuah syarikat tujuan khas milik Kementerian Kewangan) untuk mengambil alih aset-aset 'sakit'. Fitnah melampau mengatakan TH menjual aset kepada orang bukan Islam memang tidak berasas. Aset-aset tersebut memang bertujuan untuk dicairkan apabila tiba masa, dan ini adalah urusan perniagaan biasa TH demi menjaga duit pendeposit. Tiada apa yang luar biasa.
5. Berhentilah Terpedaya Dengan Propaganda Permainan Politik.
Keadaan hari ini menjadi kacau-bilau gara-gara campur tangan individu bernama Lim Sian See yang memandai-mandai memutar belit urusan UJSB, kononnya duit pendeposit disalah guna. Niat sebenar taktik ini adalah untuk mengapikan sentimen perkauman dan meruntuhkan kepercayaan institusi, dengan harapan orang Islam berpusu-pusu mengeluarkan wang dari TH.
Wahai orang Melayu Islam, buka mata dan berhentilah terpedaya dengan dakyah politik murahan seperti ini. Mereka hanya menunggang isu sensitif umat Islam demi kelangsungan politik dan mahu diangkat sebagai 'wira'.
Kerajaan dan TH hari ini sedang bertungkus-lumus memulihkan TH ke tahap asal. Paling ironi, RCI ini pada asalnya didesak oleh kerajaan PN pada tahun 2021 kononnya mahu mencari salah UJSB. Akhirnya, bila siasatan siap, ia membongkarkan penyelewengan diri mereka sendiri yang rakus menggunakan institusi agama sebagai modal politik.
Sama-sama kita berdoa semoga Allah selamatkan Tabung Haji dari keruntuhan dan melaknat sesiapa sahaja yang menunggang TH sebagai modal politik demi kepentingan peribadi.
No comments:
Post a Comment