Saya pergi semak isu ini sebab nampaknya sudah mula ada yang menulis seolah-olah Menteri Pendidikan sedang mengajar mak ayah berhutang untuk membeli baju sekolah. Ada pula sampai menggunakan perkataan 'celaka' terhadap isu pakaian sekolah.
Masalahnya, apabila kita semak apa sebenarnya Program Baju Sekolah NADI, ceritanya tidaklah seperti yang sedang digambarkan.
(1) Pertama sekali kena betulkan satu perkara asas.
NADI bukan program di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
NADI ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional, manakala Program Baju Sekolah NADI merupakan inisiatif yang bergerak melalui ekosistem NADI.
Jadi apabila Menteri Pendidikan bercakap mengenai manfaat program tersebut kepada ibu bapa, jangan pula diterjemahkan seolah-olah KPM mewujudkan skim hutang baharu untuk membeli uniform sekolah.
Itu dua perkara berbeza.
(2) Saya semak portal rasmi NADI sendiri. Memang wujud Hebahan Jualan Baju Sekolah Kebangsaan NADI 2026.
Apa yang ditawarkan?
Tempahan pakaian sekolah, harga khas kepada ahli NADI, pilihan bayaran secara ansuran, set pakaian lengkap, pakaian yang dijahit oleh komuniti serta penghantaran kepada pembeli.
Maksudnya ini bukan cerita yang tiba-tiba Menteri Pendidikan bangun pagi lalu berkata,
"Mulai hari ini mak ayah kena berhutang beli baju sekolah."
Bukan begitu ceritanya.
(3) Lebih menarik, kita kena faham dari mana datangnya ekosistem ini.
NADI memang sudah mempunyai program NADI Mahir dan salah satu bidangnya ialah Mahir Jahit.
Portal rasmi NADI menerangkan NADI Mahir sebagai inisiatif pembelajaran sepanjang hayat yang memberikan kemahiran praktikal kepada komuniti.
Bidangnya bukan menjahit sahaja. Ada Mahir Foto, Mahir Masak, Pertanian Pintar, Mahir Jahit dan Baiki Gajet. Jadi Baju Sekolah NADI ini bukan muncul dari langit. Ada ekosistem latihan kemahiran di belakangnya.
(4) Malah program Mahir Jahit ini memang benar-benar berjalan di lapangan.
Sebagai contoh, NADI Pekan Kapit merekodkan peserta wanita mengikuti latihan membuat pola, memotong fabrik dan menjahit menggunakan mesin. Objektif yang dinyatakan sendiri ialah supaya kemahiran tersebut boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan peserta.
Pada 2026 pula program ini terus berjalan. Portal NADI Mambau merekodkan Mahir Jahit Intake 3, manakala NADI Kg Wonod sudah merekodkan Mahir Jahit Intake 4 pada Julai 2026.
Jadi ini program kemahiran yang memang wujud dan berterusan, bukan program yang direka semalam untuk menjawab isu baju sekolah.
(5) Sebab itu saya rasa pelik apabila ada yang terus bertanya,
"Kalau nak ringankan beban ibu bapa, kenapa bagi ansuran? Bukankah ibu bapa tetap berhutang?"
Kita kena bezakan antara bantuan tunai dengan kemudahan pembayaran.
Kalau kerajaan kata semua rakyat miskin akan diberikan baju percuma tetapi akhirnya disuruh membayar ansuran, bolehlah kita persoalkan.
Tetapi program ini menawarkan pilihan membeli dengan bayaran yang dipecahkan kepada beberapa pembayaran. Berdasarkan maklumat program yang dikongsikan, ia bukan skim Pay Later berfaedah atau bercaj tambahan.
Maka jangan tukarkan perkataan 'pilihan ansuran' menjadi naratif 'kerajaan suruh rakyat berhutang.'
Itu sudah lari jauh.
(6) Lagi satu yang orang terlepas pandang ialah manfaat program ini berjalan dua hala. Sebelah sana ada ibu bapa yang boleh merancang pembelian pakaian sekolah secara lebih berperingkat.
Sebelah sini pula ada komuniti yang mempunyai kemahiran menjahit dan berpeluang menggunakan kemahiran tersebut untuk menjana pendapatan.
Sebab itu portal rasmi NADI sendiri menyebut pakaian berkenaan 'dijahit dengan teliti oleh tangan komuniti'.
Ini konsep memperkasa komuniti, bukan semata-mata menjual baju.
(7) Kemudian ada pula yang marah mengenai harga uniform, baju sukan, baju kokurikulum, baju rumah sukan dan sebagainya lalu semua itu dicampakkan sekali kepada Menteri Pendidikan.
Bab beban pakaian sekolah sebenarnya Menteri Pendidikan sudah mengambil langkah sebelum ini.
Pada sesi 2024/2025, Fadhlina Sidek mengumumkan murid hanya perlu memakai pakaian seragam sekolah dua hari, pakaian sukan dua hari dan pakaian kokurikulum satu hari. Beliau sendiri menjelaskan keputusan tersebut dibuat untuk meringankan beban ibu bapa dan memudahkan persediaan persekolahan.
Maknanya isu kos pakaian ini bukan benda yang tidak pernah difikirkan oleh KPM.
(8) Kita boleh kritik Menteri Pendidikan. Tidak ada masalah.
Dasar pendidikan bukan kitab suci. Menteri bukan maksum. Tetapi kritiklah perkara yang menteri benar-benar buat.
Kalau program itu inisiatif NADI, jangan tulis seolah-olah KPM mencipta skim hutang. Kalau ansuran itu pilihan, jangan tulis seolah-olah ibu bapa diwajibkan berhutang.
Kalau program tersebut turut memberikan ruang ekonomi kepada komuniti yang belajar menjahit, jangan buang separuh cerita itu semata-mata kerana mahu mendapatkan beberapa ribu likes.
(9) Saya lebih hairan apabila sampai pakaian sekolah pun dicelakakan.
Nak kritik harga, silakan. Nak persoalkan kenapa sesetengah sekolah terlalu banyak pakaian tambahan, saya pun bersetuju perkara itu wajar diteliti.
Nak persoalkan sekolah yang kerap menukar reka bentuk baju sukan atau pakaian tertentu sehingga membebankan mak ayah, itu pun kritikan yang munasabah.
Tetapi semua masalah tersebut jangan dihumbankan ke dalam satu bakul kemudian ditulis seolah-olah Fadhlina Sidek dan KPM menjadi punca segala-galanya.
Itu bukan kritik dasar. Itu namanya cari sasaran untuk dimarah.
(10) Dalam hal ini saya melihat tindakan Menteri Pendidikan menyambut dan mengangkat inisiatif seperti ini sebagai sesuatu yang baik.
Menteri Pendidikan sepatutnya memang mencari sebanyak mungkin jalan untuk meringankan urusan ibu bapa sama ada melalui bantuan kerajaan, kelonggaran dasar, kerjasama antara kementerian ataupun program komuniti.
Tidak semua bantuan mesti berbentuk,
"Nah RM200. Ambil."
Ada bantuan berbentuk tunai. Ada subsidi. Ada latihan kemahiran. Ada peluang pekerjaan. Ada pengurangan kos. Ada juga kemudahan mengurus aliran tunai keluarga.
Yang penting, syaratnya jelas dan rakyat tidak dieksploitasi.
(11) Jadi sebelum kita mencarut, mencelaka dan menghukum Menteri Pendidikan, semak dahulu keseluruhan cerita.
Saya pun ada banyak perkara yang saya kritik tentang KPM. Tetapi apabila sesuatu usaha itu baik, kita kena ada keberanian untuk kata baik.
Apabila salah, kita kata salah.
Jangan sampai kebencian politik menyebabkan benda yang boleh membantu mak ayah pun kita paksa nampak jahat.
Politik boleh berbeza. Kritik boleh keras. Tetapi fakta jangan dibuang. Itulah beza antara mengkritik dasar dengan ilmu dan sekadar membina persepsi dengan kemarahan.
'Ada masa Bodoh tak perlu nak dicari, bodoh akan datang dengan emosi tanpa pengetahuan. Maka tersebarlah kebodohan itu'
Mohd Fadhli Othman




No comments:
Post a Comment