Arus Malaysia
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai satu persefahaman luar biasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila kedua-dua gabungan bersetuju untuk tidak menyerang antara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen, meskipun bertembung di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama kedua-dua pihak adalah memperkenalkan calon serta menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya menjadikan kempen sebagai medan serangan politik.
Menurut Zahid, pendekatan itu lahir daripada semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan politik negara berbanding perbezaan di peringkat negeri.
Beliau menegaskan bahawa walaupun BN dan PH bersaing di Johor, hubungan baik di peringkat Persekutuan perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan kesinambungan pentadbiran negara.
Justeru, semua pimpinan utama parti dalam kerajaan perpaduan memahami bahawa persaingan kali ini perlu berlangsung secara matang, berhemah dan penuh kesantunan.
Dalam masa sama, Zahid turut menafikan dakwaan kononnya BN mempunyai kerjasama politik dengan mana-mana parti lain pada PRN Johor.
Beliau menegaskan tindakan BN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi membuktikan gabungan itu bertanding secara solo dan menggunakan lambang sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain. Menurutnya, jika wujud sebarang perbincangan di peringkat bawahan, ia bukan pendirian rasmi kepimpinan tertinggi BN.
Kenyataan Zahid itu memperlihatkan landskap politik Johor kali ini berbeza daripada pilihan raya sebelum ini apabila dua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk bersaing tanpa menjadikan kempen sebagai medan permusuhan.
Persaingan yang lebih berfokus kepada tawaran, prestasi dan kebolehan calon dijangka menjadi penentu utama, sekali gus memberi peluang kepada rakyat menilai siapa yang benar-benar layak memimpin Johor untuk lima tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment