Watikah untuk Bersatu jadi ‘calon’ selepas rundingan dengan BN gagal, kata pegawai Muhyiddin


 


Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohamad mendakwa pemberian watikah kepada calon-calon Bersatu untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya berlaku selepas rundingan antara Pas dan Barisan Nasional (BN) menemui jalan buntu.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai seorang yang “berjiwa besar” kerana membenarkan logo PN digunakan oleh Bersatu dalam PRN Johor.

Menurut Marzuki, kenyataan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Bersatu perlu berterima kasih kerana dibenarkan menggunakan logo PN, sedangkan perkara itu merupakan hak parti berkenaan sebagai salah satu anggota gabungan tersebut.

“Janganlah berkata begini kepada Bersatu. Nampak condescending.

“Padahal itu hak Bersatu sebagai parti anggota PN untuk diberikan watikah bertanding menggunakan logo PN dalam pilihan raya. Ia bukan soal berbesar hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, amalan mengeluarkan watikah kepada calon daripada parti-parti komponen merupakan prosedur biasa dalam mana-mana gabungan politik selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan.

“Sesiapa sahaja yang diberikan amanah untuk menandatangani watikah bagi sesuatu gabungan parti politik akan mengeluarkan watikah kepada calon-calon daripada parti anggota berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat rundingan kerusi,” katanya.

Bagaimanapun, Marzuki mendakwa situasi dalam PN kali ini mempunyai latar belakang yang berbeza dan keputusan membenarkan Bersatu bertanding menggunakan logo PN berlaku hanya selepas usaha rundingan antara Pas dan BN tidak berjaya.

“Bagi yang tahu cerita, ini semua afterthought.

“Watikah diberikan sebab rundingan Pas dengan BN gagal. Kalau rundingan berjaya, tak bertandinglah PN dalam PRN Johor.

“Pengerusi PN tak perlu keluarkan satu watikah pun,” katanya.

Dakwaan itu dilihat menghangatkan lagi spekulasi mengenai hubungan antara Pas, Bersatu dan BN menjelang PRN Johor, khususnya berkaitan usaha menghidupkan semula kerjasama politik antara Pas dan Umno.

Setakat ini, kepimpinan Pas, Bersatu dan PN belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan oleh Marzuki.

PRN Johor menyaksikan PN akhirnya bertanding menggunakan logo gabungan itu selepas rundingan kerusi dimuktamadkan, dengan Pas, Bersatu dan parti-parti komponen lain mengemukakan calon masing-masing bagi menentang Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH).

Dakwaan bahawa PN mungkin tidak bertanding sekiranya rundingan antara Pas dan BN berjaya dijangka terus menjadi bahan perdebatan sepanjang tempoh berkempen, ketika pelbagai pihak cuba membaca semula dinamika hubungan antara parti-parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).







No comments: