PRU Johor: Bendera PH Dibakar, Wakil Calon Buat Laporan Polis

 


Faizul menunjukkan sehelai bendera PH yang dipasang di hadapan jalan masuk Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi yang didakwa dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 28 Jun 2026.

KOTA TINGGI, 28 Jun – Wakil calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat hari ini membuat laporan polis susulan sehelai bendera parti itu yang dipasang di hadapan jalan masuk Gugusan Felda Adela didakwa dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.

Calon PH DUN Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani berkata, kejadian khianat disedari Ketua Jentera Unit Logistik sekitar pukul 2 pagi apabila beliau menemui bendera berkenaan dalam keadaan terbakar.

Sehelai bendera PH yang dipasang di hadapan jalan masuk Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi yang didakwa dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 28 Jun 2026.

“Susulan itu, wakil calon saudara Mohamad Saat Sukami, telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk rekod dan tindakan lanjut.

“Saya ingin menegur pelaku yang melakukan perbuatan khianat seperti ini, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan provokasi, sabotaj atau perbuatan yang boleh menghakis budaya demokrasi matang.

Laporan polis dibuat berikutan sehelai bendera PH yang dipasang di hadapan jalan masuk Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi yang didakwa dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 28 Jun 2026.

“PH menghormati hak semua pihak untuk berkempen, berbeza pandangan dan menyatakan pendirian politik masing-masing. Namun, kebebasan berpolitik mesti diraikan dengan cara yang berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tindakan merosakkan bahan kempen boleh didakwa dan pelakunya akan dihadapkan ke mahkamah kerana perbuatan khianat semasa tempoh berkempen sah dari 27 Jun hingga 11.59 malam 10 Julai ini.




No comments: