Epilog Sebuah Penempatan: Renungan Tentang Kampung Lee Kong Chian

 


Apa sahaja pembangunan yang dilakukakan di Kampung Lee Kong Chian seharusnya tidak meminggirkan nilai sejarah dan kenangan yang tercipta sejak puluhan tahun lalu.

PENDAPAT, 28 Jun – Dunia bergerak pantas. Di Wangsa Maju, jejak sejarah Kampung Lee Kong Chian kini semakin malap ditelan arus kemajuan.

Sejak 1927, tanah ini bukan sekadar sebuah penempatan pekerja kilang Lee Rubber; ia adalah monumen hidup yang menyimpan seribu satu memori kolektif. Pandangan saya mengenai polemik yang menyelubungi masa depan tanah ini telah pun saya kongsikan secara terperinci sebelum ini dalam artikel di Suara KEADILAN.

Kerjasama semua pihak dalam menyelesaikan isu Kampung Lee Kong Chian wajar dicontohi tatkala Malaysia terus membangun wajah baharu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Sebagai penasihat yang tidak menetap di sini, tugas saya adalah menjadi jambatan. Saya sedar kedudukan saya—saya tidak mencampuri urusan pampasan bagi mengelakkan polemik politik, namun saya komited memastikan penduduk mendapat pembelaan sewajarnya.

Usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan moral daripada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Lo Su Fui.

Begitu juga dengan kerjasama Tuan Ismadi Sakirin dari DBKL dan Ketua Kampung, Encik Tan Lai Kee, yang membolehkan sebahagian keluarga penduduk beralih ke penempatan PPR yang lebih selesa.

Kita tidak boleh lari daripada realiti perundangan. Tanah ini adalah hak milik persendirian, dan kita perlu akur dengan hakikat undang-undang. Namun, pembangunan semula tidak harus menjadi pemusnah.

Warisan tradisi Kampung Lee Kong Chian wajar dipertahankan demi tatapan generasi akan datang biarpun ia bakal lenyap ditelan arus pembangunan.

Kita boleh belajar daripada pengalaman Singapura pada tahun 1970-an; mereka berjaya mengubah kampung-kampung lama menjadi bandar moden tanpa menghilangkan jiwa komuniti yang unik.

Ini adalah visi “Malaysia MADANI” yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim—sebuah negara di mana pembangunan bandar raya inklusif tidak hanya memihak kepada kelompok elit, tetapi menjaga kebajikan golongan bawahan agar mereka tidak tercicir.

Pembangunan Kampung Lee Rubber mengambil kira semua kepentingan semua pihak walaupun mungkin ada yang terpaksa berkorban di saat-saat sukar ini.

Pembangunan masa depan di kawasan ini, yang perlu mematuhi kerangka Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), sepatutnya mengintegrasikan perumahan mampu milik seperti Rumah MADANI dan RumahWIP seiring dengan projek komersial.

Bagi saya, pampasan RM50,000 hanyalah angka di atas kertas; ia tidak mampu membayar nilai nostalgia atau “buku sejarah hidup” yang kita miliki di sini. Itulah sebabnya, sebelum jentolak meratakan segalanya, saya mengambil inisiatif merakamkan keindahan kampung ini dalam video muzik Tahun Baru Cina tahun ini—sebuah dokumentasi cinta sebelum ia hilang.

Saya mengambil inisiatif merakamkan keindahan kampung ini dalam video muzik Tahun Baru Cina tahun ini—sebuah dokumentasi cinta sebelum ia hilang. Foto Lai Chen Heng

Saya berharap pemaju dan pihak berkuasa dapat mencari titik pertemuan yang bermaruah melalui dialog yang rasional. Pembangunan fizikal itu perlu, namun nilai kemanusiaan jangan sesekali dikorbankan.

Tidak lama lagi Kampung Lee Kong Chian akan hilang dari peta, namun Kampung Lee Kong Chian akan sentiasa dalam hati saya.

LAI CHEN HENG
Penasihat, Persatuan Penduduk Kampung Lee Kong Chian
Mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur




No comments: