Umno pernah kalah, kali ini PH boleh kuburkan lagi — Aminolhuda jawab sinis penyokong BN


 


Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan tampil menjawab secara spontan pertanyaan seorang penyokong Barisan Nasional (BN) berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyebut mengenai usaha menguburkan BN walaupun beliau sendiri tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menjawab persoalan itu ketika hari penamaan calon semalam, Aminolhuda berkata beliau memilih untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang lebih keras terhadap BN.

“Nasib baik saya tidak cakap kasar. Umno pernah kalah, kali ini kita boleh kalahkan lagi. Istilahnya kebumikan semula,” katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu berkata, sejarah pilihan raya lalu membuktikan BN bukanlah sebuah gabungan yang mustahil untuk ditewaskan jika peratusan keluar mengundi tinggi.

Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Umum lalu, Umno hanya berjaya memenangi sembilan daripada 26 kerusi yang ditandingi apabila lebih ramai rakyat keluar mengundi dan membuat pilihan berbeza.

“Bila rakyat semua keluar mengundi, perubahan keputusan itu berbeza,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Aminolhuda mengakui berasa kecewa apabila BN Johor memilih untuk bergerak secara bersendirian dalam PRN kali ini walaupun parti itu bersama-sama membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan bersama PH.

“Kita sedihlah. Kawan yang berada dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi kenapa di Johor mahu bersendirian,” kata Aminolhuda lagi.



No comments: