28 Jun 2026
Jumaat lalu Presiden PAS, Haji Hadi Awang menegaskan, matlamat parti itu menyertai PRN Johor adalah untuk memastikan kerajaan Melayu/Islam memerintah negeri tersebut.
“Apa yang penting, saya nak Johor diperintah oleh orang Melayu Islam.
“Kita tak mau dikuasai oleh puak-puak liberal (atau) puak-puak bukan Islam.
“Biar orang Islam perintah Johor,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan kulih mingguan di Masjid Rusila, Marang.
Hari ini penegasan Presiden PAS itu disambut pula oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tun Man.
Beliau berkata, PAS telah mengarahkan ahli dan penyokongnya agar mengundi calon UMNO/BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 11 Julai ini.
Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan kemenangan memihak kepada UMNO-BN di kawasan tidak mempunyai calon daripada PN.
“PAS mengarahkan ahli dan penyokong mengundi calon UMNO atau BN di DUN tidak ditandingi PN.
“Saya yakin ahli PAS memahami betapa perlunya penyatuan ummah diteruskan dan PN ialah wadah ke arah penyatuan tersebut,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Sanusi Md Nor juga senada dengan dua pimpinan tertinggi itu.
Katanya, di kawasan di mana PN tidak meletakkan calon, pengundi hendaklah memilih mudarat yang lebih kecil iaitu memberi undi kepada BN.
“Matlamat kita ialah untuk memastikan PH tidak menang di Johor,” tegasnya.
Dengan kenyataan beberapa pemimpin PAS seperti di atas, adalah jelas dan tidak lagi rahsia bahawa kerjasama PAS - UMNO telah terbentuk secara maya.
Walaupu tanpa kerjasama rasmi, tiada pembahagian kerusi dan tiada perjanjian bekerjasama ditandatangani, tetapi matlamat penyatuan ummah lebih menjadi keutamaan.
PAS dalam hal ternampak berjiwa besar dengan sedia memberi sokongan kepada UMNO/BN demi memastikan kerajaan Melayu/Islam kekal mentadbir Johor.
Selepas ini di PRN Negeri Sembilan dan Melaka serta PRU16, kebarangkalian untuk melihat kerjasama yang sama diteruskan lagi adalah cukup tinggi.
Pokoknya ia mesti bermula di Johor terlebih dahulu.
Apa nak di kata lagi, masa depan PH pasti semakin suram selepas ini. - ShahbudinHusin 28Jun2026.
No comments:
Post a Comment