Selepas Pas noktahkan kerjasama parti, ini nasib dua Exco Bersatu Kelantan


 


Walaupun Pas menoktahkan kerjasama politik dengan Bersatu, dua Exco Kelantan dari parti itu kekal dengan status quo dan terus berkhidmat seperti biasa dalam pentadbiran negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan kerajaan negeri mengambil sikap terbuka dengan memastikan urusan politik tidak dicampur adukkan dengan tanggungjawab mentadbir Kelantan.

“Kita ambil sikap terbuka, memang Exco Bersatu ada jumpa saya (sebelum ini), saya kata itulah keputusan kita dan sekarang ini kita buat kerja untuk negeri macam biasa, tiada masalah.

“Sebagaimana Timbalan Speaker (Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi) dari Bersatu dipecat dulu kemudian Bersatu negeri datang jumpa saya supaya jawatan itu diganti, saya kata tak apalah, kita duduk status quo begitu dulu,” katanya.

Nassuruddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 Kerajaan Negeri Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kedudukan jawatan Exco juga kekal seperti biasa kerana pihaknya mahu amanah yang diberikan terus dilaksanakan demi kepentingan kerajaan negeri, selain menegaskan hubungan sesama wakil rakyat masih berjalan baik tanpa sebarang masalah.


No comments: