Pernah berhujah bersandarkan surat layang berkenaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Wan Ahmad Fayhsal kini “mendapat khabar” pula tentang status lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa pihaknya mendapat khabar lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB telah ditamatkan kontrak.
Walau bagaimapun, dia sendiri masih belum dapat mengenalpasti kesahihan khabar itu.
“Setelah membantah penjualan saham MAHB dengan nilai yang disifatkan sebagai “tidak adil, tidak munasabah”, kami mendapat khabar 5 Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB telah ditamatkan kontrak, apakah benar berita ini?
“Kalau benar memang zalim!” kata Ahli Parlimen Machang berkenaan menerusi kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Wan Fayhsal mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat hal terbabit yang didakwa menjejaskan para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
“PAC perlu siasat dalang penjualan saham MAHB yang merugikan pencarum KWSP, KWAP, PNB serta aset pelaburan negara dalam Khazanah!” katanya.
Dalam masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkenaan memberitahu beberapa NGO dan pencarum akan berhimpun menyatakan bantahan mereka kepada entiti-entiti kewangan rakyat terbabit.
“Kami telah menerima persetujuan saksi-saksi daripada organisasi-organisasi ini untuk sedia memberi kerjasama melalui penyerahan bahan bukti, keterangan kepada PAC berkenaan kebarangkalian salah guna kuasa, penipuan (fraud) yang berlaku dalam transkasi penjualan saham ini,” tambah Wan Fayhsal lagi.
Tahun lalu, Wan Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai.
Keputusan yang diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu susulan tindakan pemimpin PN berkenaan mendakwa menerima surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan penjualan sebahagian saham MAHB.
Malah ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2024, lebih mengejutkan orang ramai apabila Wan Fayhsal secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan KWSP.