ABU DHABI, 14 Jan – Sejarah baharu tercipta hari ini apabila Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA) yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
Majlis permeteraian bersejarah itu disaksikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di ADNEC Center, di sini pada Selasa.
Terdahulu, Anwar yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke UAE mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE itu.
Perdana Menteri kemudian bersama-sama beberapa pemimpin dunia menghadiri majlis perasmian Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) 2025 yang disempurnakan oleh Sheikh Mohamed.
Turut hadir Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan, Presiden Uganda Yoweri Museveni, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana New Zealand Christopher Luxon.
Anwar menerusi satu kenyataan berkata beliau mengalu-alukan pemeteraian perjanjian antara kedua-dua negara itu.
Beliau berkata sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), perjanjian itu dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh bukan sahaja antara Malaysia dan UAE malah merangkumi juga dengan negara Teluk yang lain.
“MY-UAE CEPA akan membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, termasuk penghapusan/pengurangan tarif dan peningkatan akses pasaran, yang bakal memacu eksport dan mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi sektor utama,” kata Anwar.