KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pentadbiran Kerajaan MADANI memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi data peribadi dan kepentingan rakyat, terutama dengan pelaksanaan pelesenan pesanan internet dan platform media sosial.
Dalam kepantasan penyebaran maklumat dan kandungan di media sosial, pelaksanaannya jelas membuktikan kerajaan tidak berkompromi dengan penjenayah siber apabila bertindak memulakan pelesenan itu bermula 1 Januari lalu menerusi Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) yang diwajibkan pada tarikh sama.
Ini diakui Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad yang berkata, pelesenan platform media sosial tidak boleh ditangguhkan lagi apabila kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap kesejahteraan rakyat tidak begitu berhasil menerusi strategi tapisan kendiri.
Langkah tersebut katanya juga merupakan satu strategi untuk mengukuhkan tahap kebertanggungjawaban media baharu terhadap masyarakat menerusi platform media baharu.
“Disebabkan kegagalan mengawal emosi dan kewarasan perilaku, para netizen mudah bertindak melakukan deepfakes, menghasilkan kandungan jelek, fitnah, hasutan serta jenayah buli siber,” katanya.
Kebanyakan platfom media baharu meraih pendapatan dan keuntungan besar, dan seharusnya bergerak dalam kerangka yang dapat memastikan mereka dalam masa sama, melaksanakan tanggungjawab sosial dan moral.
Langkah yang diambil oleh kerajaan adalah memastikan bahawa penyedia perkhidmatan internet dan platform media sosial mematuhi peraturan yang ketat mengenai pengumpulan, penggunaan, dan penyimpanan data peribadi pengguna. Ini adalah penting bagi mengelakkan penyalahgunaan data yang boleh menjejaskan privasi individu.
Dengan pelesenan ini, kerajaan dapat mengawal dan mengawasi operasi platform media sosial dan aplikasi pesanan dalam negara. Platform yang beroperasi tanpa lesen atau tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa perkhidmatan yang digunakan adalah selamat dan mematuhi peraturan yang melindungi hak privasi mereka seperti yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pelesenan ini juga membolehkan kerajaan melaksanakan tindakan perundangan kepada penyedia platform untuk memastikan data peribadi pengguna tidak dijual atau disalahgunakan oleh pihak ketiga terutama jenayah dalam talian.
Pelaksanaan pelesenan ini membolehkan kerajaan menjalankan tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu atau ancaman siber yang boleh membahayakan keselamatan rakyat dan negara.
Kerajaan MADANI memastikan bahawa platform media sosial bukan sahaja berfungsi untuk menyampaikan maklumat dengan bebas, tetapi juga bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan ketelusan komunikasi dalam talian.
Adalah jelas bahawa kerajaan sebenarnya berperanan sebagai pelindung data peribadi dan kepentingan rakyat melalui pemantauan yang ketat terhadap platform digital, sambil memastikan kebebasan melayari intenet dilakukan dengan penuh tanggungjawab.