Kita ada MITI pun Najib guna bantuan Jho Low. Ahaks


Zainuddin Omar


******* 

Najib Razak memberitahu mahkamah dia menggunakan bantuan Low Taek Jho (Jho Low) untuk membantu kewangan Malaysia walaupun mengetahui reputasi buruk ahli perniagaan dalam buruan itu.


Bekas perdana menteri itu menjelaskan di Mahkamah Tinggi Putrajaya petang ini mengapa beliau bergantung kepada Jho Low untuk membantu pegawai khasnya ketika itu, Amhari Efendi Nazarudin dalam perjalanan ke China pada Jun 2016.


Dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion 1MDB hari ini, Najib berkata dia mendapatkan bantuan Jho Low kerana hubungan rapatnya dengan pegawai-pegawai China.


Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib menyoal Najib mengapa dia tetap menggunakan khidmat Jho Low meskipun mengetahui reputasinya yang kontroversi, seperti "imej seperti foto ahli perniagaan tersebut yang terlibat dalam pesta mewah bersama selebriti Hollywood."



Akram: Mengapa anda mahu Jho Low membantu Amhari?

Najib: Saya mahu bantuan untuk menjana kekayaan bagi Malaysia secepat mungkin. Dia mempunyai hubungan di China dan dengan demikian kita boleh gunakan dia tapi bukan untuk China selesaikan hutang 1MDB.


Akram: Anda menggunakan Jho Low untuk membantu Amhari di China?

Najib: Ya, selagi projek itu memberi manfaat kepada Malaysia seperti projek ECRL dengan China.

Akram: Anda dapatkan bantuan Jho Low

Najib: Ya

Akram: Kita ada duta di China, mengapa guna Jho Low?

Najib: Dia ada hubungan tertentu dengan pihak tertentu (di China), sebab itu saya perlukan bantuannya.


Bekas perdana menteri itu menjelaskan dia mahu Jho Low membantu Amhari mendapatkan sebanyak mungkin dana.


Sebelum ini, Najib menafikan dakwaan pendakwaan dia menghantar Amhari dalam misi rahsia ke China pada 28 dan 29 Jun 2016 supaya negara itu membantu menyelesaikan hutang syarikat pelaburan negara 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.


Amhari salah seorang daripada 50 saksi yang memberi keterangan terhadap Najib.


Pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu mendakwa Amhari seorang pegawai korup dan menerima rasuah daripada Jho Low.


6 tahun bicara

Pada 30 Oktober tahun lalu, Najib diperintahkan untuk membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.


Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berkaitan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).


Hakim mendapati Najib perlu menjawab tuduhan itu berdasarkan kekuatan keterangan 50 saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun sejak 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.


Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberikan keterangan membela dirinya terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.


Tertuduh menegaskan dia tidak mengetahui sebarang salah laku dalam 1MDB dan mendakwa Jho Low serta anggota pengurusan syarikat sebagai dalang penggelapan dana 1MDB.


Najib juga bergantung pada pembelaan bahawa dia percaya akan menerima derma daripada kerabat diraja Arab kerana sumbangannya kepada dunia Islam.


Peguam Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan Najib.