PENDAPAT, 15 Jan – Usai sudah lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Abu Dhabi dan Dubai bukan sahaja berperanan dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang terjalin sejak Anwar hadir buat pertama kali sebagai Perdana Menteri pada 5 Oktober 2023.
Rupanya, secara tidak disedari, lawatan Anwar kali ini juga memperkukuh peranan Malaysia dalam mempereratkan sinergi kesatuan negara-negara Islam di peringkat antarabangsa terutama sekali Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Sebagai penyokong kuat Gaza dan rakyat Palestin, Anwar mengambil kesempatan memposisikan kedudukan dan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan membawa suara rakyat tertindas dalam platform antarabangsa seperti Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2025 (ADSW 2025).
Selain mengadakan perbincangan dengan pemimpin UAE termasuk Presiden merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di ADNEC Center, terdahulu Anwar turut diterbangkan ke Dubai sejauh 150 kilometer dari Abu Dhabi bagi mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Istana Za’abeel.
Rata-rata warganet terkesima dengan sambutan yang diberikan Kerajaan UAE terhadap Anwar yang bersungguh-sungguh menjemput beliau menghadiri ADSW 2025 dan menyampaikan pidato bertajuk ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’.
Lebih 50,000 peserta terdiri daripada pemimpin negara, pemain industri, pembuat dasar serta delegasi dari 175 buah negara mendengar pidato Anwar di hadapan Sheikh Mohamed bin Zayed termasuk Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.
Selain itu puluhan pemimpin benua Afrika seperti Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan, Presiden Uganda Yoweri Museveni turut hadir bersama Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama dan Perdana Menteri Finland Petteri Orpo.
Persidangan yang diadakan di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) itu sarat dengan kupasan pelbagai isu serantau dan global, terutamanya dalam konteks kerjasama ekonomi dan perdagangan, yang menjadi fokus utama di peringkat global.
Manakala selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar menekankan pentingnya kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN termasuk negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, keselamatan, tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan.
Malaysia, dengan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta negara anggota utama OIC, memainkan peranan penting dalam menghubungkan kedua-dua blok ini untuk mencapai matlamat bersama.
Lawatan ini juga memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pelaburan dan kerjasama ekonomi, terutamanya dalam sektor-sektor seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui, dan kewangan Islam.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar pada Isnin mengadakan beberapa sesi pertemuan di luar ADSW 2025 antara tiga syarikat gergasi UAE seperti Dana Kekayaan Berdaulat merangkumi Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), Masdar dan Mubadala untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UAE.
Arakian, lawatan Anwar ke UAE kali ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi penghubung dalam memperkukuh hubungan antara negara-negara Islam, tetapi ia juga memajukan kepentingan ASEAN dalam pentas global sebagai peneraju kesatuan dan kerjasama serantau juga dapat direalisasikan.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-UAE.
“Beberapa kerjasama baharu berjaya dimeterai termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan memperkasa inisiatif kecerdasan buatan (AI) di Malaysia,” ujar Anwar di Facebook pada Rabu.
Mengakhiri lawatan sebelum ke United Kingdom (UK) pula bagi lawatan kerja lima hari, Anwar merangkumkan kejayaan pertemuan dengan Pemerintah UAE dan Dubai mencetuskan peranan lebih besar Malaysia mencipta peluang baharu buat ASEAN sesuai dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sudah pasti Kepengerusian ASEAN 2025 yang sedang digalas bukan sahaja menuntut Malaysia menjadi jurucakap serantau tetapi berperanan memperkukuh hubungan dengan 57 negara anggota OIC
Kita tunggu apa pula hasil lawatan Anwar di London, UK; Brussels, Belgium dan Davos, Switzerland buat rakyat, negara dan ASEAN secara umumnya dalam seminggu dua ini.