Malaysia Alu-Alukan Pelaburan Dari UAE Bagi Projek Tenaga Boleh Baharu – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika sidang media bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) pada Selasa. Foto Bernama

ABU DHABI 14 Jan – Malaysia mengalu-alukan kalangan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melabur di Malaysia dalam projek melibatkan tenaga boleh baharu (TBB) serta pusat data.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata justeru, sewaktu lawatan kerja tiga hari di UAE bermula Ahad, beliau telah mengadakan pertemuan dengan syarikat dana kekayaan berdaulat negara ini.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan syarikat Masdar, kerajaan memaklumkan akan memudah cara rancangan pelaburan Masdar di Malaysia secara usaha sama dengan syarikat tempatan bagi projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama serta memperkukuh grid tenaga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi pada Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Bagi Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), ia melibatkan projek berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan rangka kerja Ekonomi MADANI selain projek di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) iaitu pembuatan termaju.

“Ini juga (melibatkan) pembangunan infrastruktur, teknologi hijau, TBB, logistik, kesihatan, ekonomi digital dan pendidikan,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke UAE di sini, pada Selasa.

Beliau tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari di UAE, antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bercakap pada sesi Youth 4 Sustainability (Y4S) Forum and Hub sempena Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC) pada Selasa. Foto Bernama

Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar turut menyambut baik hasrat ADIA untuk bekerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) bagi penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Beliau berkata pertemuan dengan Mubadala pula membincangkan pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan pembangunan infrastruktur berkaitan gas, selain pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta projek di JS-SEZ.