MENJAWAB SETAN BERCAKAP
Oleh: Dr Ahmad Safwan Mohamad
Kebelakangan ini ada muncul lagi insiden membangkitkan kes tersebut di kalangan masyarakat. Kalau dahulu ia dibangkitkan oleh kelompok yang memperjuangkan politik nasionalis, tetapi kali ini ia disambut pula oleh kelompok yang kononnya memperjuangkan politik Islam.
Kalau dahulu, kelompok inilah yang memperjuangkan hudud dengan memberikan hujah bahawa setiap tuduhan zina atau liwat WAJIB membawakan 4 orang saksi yang adil, tetapi kini kumpulan ini jugalah yang mengatakan 4 orang saksi tidak diperlukan kerana hukuman telah dijatuhkan.
Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah hukum boleh bertukar kerana kedudukan dan politik?
Di sini penulis ingin mengulas dari aspek ilmiah dan aspek politik. Sejak kebelakangan ini, parti PAS sudah menjadi sebuah parti politik tulen, dan bukan lagi sebuah Jamaah Islam. Banyak insiden yang menunjukkan bahawa PAS lebih mementingkan politik berbanding mesej Islam yang sebenar. Di sinilah punca masalah ummat.
Umum mengetahui bahawa PAS amat sinonim dengan perjuangan Islam sejak dahulu. Pemahaman itu mengakibatkan orang awam terutama yang berada di kampung menganggap apa sahaja yang diputuskan oleh PAS adalah sesuatu yang selari dengan Islam. Dahulu, PAS memang mendahulukan Islam, dari segi kaedah istinbat hukum dan sebagainya. Namun kini kedudukan itu nampaknya berbeza.
Penilaian PAS lebih menjurus kepada kepentingan politik mereka. Sebagai contoh, PAS akan sedaya upaya mahu menjadikan parti mereka sebagai dominan. Di dalam Perikatan Nasional, kedudukan PAS dilihat mahu mendominasi PN adalah amat jelas. Atas sebab yang samalah maka mereka tidak mahu menyertai kerajaan Perpaduan, kerana mereka tidak mahu menjadi sebuah parti yang tidak dominan.
Ini bertentangan dengan prinsip musyawarah. Dalam konteks musyawarah, dominasi adalah sesuatu yang tidak boleh diamalkan. Garis panduan yang jelas ada di mana ada garisan yang tidak boleh dilanggari dalam mana-mana musyawarah. Namun kebebasan untuk bersuara adalah utama. PAS tidak boleh menerima konsep ini, yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan.
Maka berbondong-bondonglah kejian, makian, tohmahan, malah gelaran binatang, diberikan kepada Anwar Ibrahim , Pakatan Harapan, dan Kerajaan Perpaduan. Ini juga bertentangan dengan prinsip Islam. Islam tidak membenarkan cacian kepada sesama makhluk. Itu amat jelas. Namun PAS secara bebas melakukannya.
Berbalik kepada tajuk di atas, apakah sebenarnya yang berlaku?
Kes Anwar vs Saiful Bukhari ini adalah sangat jelas di mana ia adalah satu tuduhan yang tidak cukup bukti untuk disabitkan di bawah kesalahan Hudud. Ia tidak mempunyai 4 orang saksi yang adil. Maka secara asasnya, sesiapa sahaja yang melakukan komentar berkenaan isu ini boleh dikenakan kesalahan Qazaf, kerana mereka tidak mempunyai saksi yang layak.
Namun dalam kes ini, aduan itu dibuat oleh Saiful. Maka beliau tidak boleh dikenakan kesalahan Qazaf selagi ada ruang pembuktian. Maka dibawa kepada perbicaraan secara TAKZIR. Apabila dibawa kepada takzir, maksudnya di dalam konteks Malaysia, ia dibicarakan di bawah Mahkamah Sivil. Lagipun, di Malaysia, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa untuk membicarakan kes berkaitan jenayah.
Kes bermula apabila Saiful membuat laporan polis pada bulan Jun 2008 mengatakan dia diliwat oleh DSAI. DSAI telah menafikan dan menyaman fitnah ke atas Saiful beberapa hari selepas laporan polis itu dibuat. Namun kes tetap dibicarakan kerana wujudnya aduan tersebut.
Kes dibicarakan pada bulan Ogos tahun 2008 di Mahkamah Seksyen. Anwar mengaku tidak bersalah. Kata Saiful, dia diliwat pada 26 Jun 2008, pada jam 3.10pm-4.30pm (1 jam 20 minit). Pada November 2008, Peguam Negara memohon agar kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Perlu diingat bahawa Peguam Negara ketika itu adalah ketika Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan Timbalan Perdana Menteri DS Najib Razak.
Anwar beberapa kali memohon agar kes tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, namun ia ditolak. Lalu perbicaraan bermula pada Feb 2010. Anwar juga memohon beberapa dokumen penting untuk perbicaraan, seperti sampel DNA, rekod kenyataan pegawai perubatan, dan sebagainya, tapi permohonan itu ditolak. Anwar juga cuba memanggil DS Najib dan isteri DS Rosmah untuk menjadi saksi, namun ia ditolak.
Akhirnya Anwar memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh kerana kebanyakan permohonan beliau ditolak oleh mahkamah. Apabila berada di kandang tertuduh, beliau tidak boleh disoal balas, bersesuaian dengan keadaan di mana permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting itu tidak diberikan. Ini menjawab tuduhan bahawa Anwar tidak berani untuk disoal balas, sedangkan segala permohonan beliau ditolak oleh mahkamah.
Apakah pula hujah Saiful ketika itu?
Saiful mengatakan bahawa beliau "dipaksa" untuk "diliwat". Selepas "diliwat", dia tidak mandi selama 2 hari dan tidak masuh duburnya "untuk menyimpan bahan bukti". Tiada saksi lain yang boleh membuktikan perkara itu. Tapi katanya ada "bukti DNA" di dalam duburnya...
Selepas diperiksa oleh 4 orang doktor, semua menyatakan "tiada kesan penetrasi" pada duburnya, malah "tiada tanda melawan" pada anggota badannya. Tiada luka lain. Semuanya nampak "molek", tapi ada DNA.
Pelik? Tapi itulah faktanya... Tiada penetrasi, tetapi ada DNA.
Walaupun begitu, mahkamah tetap teruskan perbicaraan berfokuskan pada "bukti DNA" dan "kredibiliti pengadu". Peguambela DSAI berhujah tentang kredibiliti sampel DNA itu. Bagaimana ia boleh berada di situ? Bagaimana ia diambil? Bagaimana sampel itu dijaga?
Akhirnya, Mahkamah Tinggi mendapati ada keraguan tentang pengendalian sampel itu. Macam mana ia boleh sampai ke dalam rektum itu, kita tidak pasti. Namun, mahkamah mendapati kredibiliti sampel itu diragui. Ketika itu, Tun Abdullah Badawi adalah Perdana Menteri.
Mahkamah Tinggi ketika itu akhirnya membebaskan DSAI. Itulah faktanya... DSAI dibebaskan kerana ada kecacatan pada bahan bukti!
Kenapa PAS tidak mahu ambil kira keputusan mahkamah ini? Sekiranya mengikut SEMANGAT HUDUD dan QAZAF, maka sudah pasti sebarang keraguan yang ada sudah cukup untuk mereka tolak fitnah liwat ini...
Sebab itulah saya katakan, PAS sebenarnya adalah PARTI POLITIK, bukanlah Jamaah Islam. Mereka hanya memikirkan kepentingan politik mereka, manakala Islam hanya digunakan untuk membaluti keputusan politik tersebut....
Namun tribulasi tidak berhenti di situ. Rayuan oleh pihak pengadu dibawa ke peringkat atasan. Perbicaraan diteruskan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Ketika itu, DS Najib Razak sudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah.
Di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, penilaian hanyalah dibuat pada keputusan hakim, dan bukan lagi pada bukti atau saksi. Mahkamah Rayuan dan Persekutuan tidak memanggil mana-mana saksi sama ada untuk disoalbalas atau sekiranya ada sebarang isu berbangkit. Dalam ertikata lain, ia bukanlah "perbicaraan semula" atau "retrial".
Mahkamah Rayuan dan Persekutuan telah memutuskan bahawa sampel DNA itu valid dan konsisten dengan Aduan pengadu. Itu sahaja. Bagaimana dengan proses keseluruhannya, ia tidak lagi dijadikan isu. Maka atas sebab itulah sahaja keputusan Mahkamah Tinggi ditolak dan DSAI dipenjarakan.
Banyak persoalan yang tidak terjawab. Bagi pihak mahkamah, persoalan-persoalan itu tidak penting untuk dijawab. Oleh sebab itulah juga DSAI dipenjarakan.
Antara persoalan yang tidak dijawab adalah:
- Tiada tanda penetrasi (sedangkan sampel diambil di dalam rektum)
- Tiada tanda melawan (sedangkan Saiful kata dia dipaksa)
- Pengendalian sampel yang dipersoalkan (walaupun hakim mengatakan ia menepati standard)
Kalau kita mengikut standard syariah, sekiranya ada keraguan dalam saksi sekalipun, kes itu akan digugurkan. Namun, oleh kerana kes ini dikendalikan oleh Mahkamah Sivil, maka ia masih diterima.
Apapun keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, ia tidak boleh menafikan bahawa:
1) Wujudnya keraguan berkenaan aduan
2) Wujudnya keraguan dalam integriti sampel
3) Wujudnya keraguan dalam aspek pemeriksaan fizikal
4) Mahkamah Tinggi pernah membuat keputusan membebaskan DSAI
Apabila kes dibawa ke pertimbangan Lembaga Pengampunan, Tuanku YDPA terus membuat keputusan, dengan melihat keseluruhan pengendalian kes, dan membebaskan DSAI secara mutlak (Pengampunan Penuh). Baginda menyatakan ia adalah satu "Penghinaan kepada Keadilan" (Travesty of Justice) (https://www.youtube.com/watch?v=fcTeXIED5pg).
Dalam rekod video semasa pembebasan DSAI, pihak Jabatan Penjara secara jelas mengatakan, DSAI tidak bersalah dan tiada dokumen untuk ditandatangani, kerana beliau adalah orang yang tidak bersalah. (https://www.youtube.com/watch?v=f4SEdL-1BbA)
Kalaulah ada yang di kalangan pemimpin PAS yang konsisten dengan "SEMANGAT HUDUD", sudah pasti akan mengetepikan keputusan mahkamah tersebut. Inilah sikap yang diambil oleh ramai ulama muktabar dunia seperti Dr Yusuf Qaradhawi (https://www.youtube.com/watch?v=VQ186HVc4ss).
Begitu juga pendirian Tuan Guru Nik Aziz (https://www.youtube.com/watch?v=yiM6TuitRGQ).
Namun, pemimpin PAS pada hari ini sebenarnya bukanlah berminat dengan akhlak Islam mahupun ajaran Islam sebenar. Mereka lebih berminat untuk berkuasa untuk buktikan mereka kuat dan mampu menang. Itu sahaja. Caranya pelbagai, termasuklah dengan cara menipu, memfitnah, dan mengadu domba.
PAS perlu kembali ke jalan Islam yang sebenar. Kalau PAS masih tidak mahu bertaubat, maka Umat Islam wajib mengajar PAS supaya mereka kembali ke pangkuan Islam yang sebenarnya.
15/1/2025