MESEJ AGONG TIDAK SUKAR DIFAHAMI, PRU TIDAK SESUAI DIADAKAN TAHUN INI

 

Yang Dipertuan Agong selaku ketua negara bolehlah kita sifatkan sebagai payung yang amat prihatin kepada seluruh rakyat dan apa jua keadaan semasa dalam negara ini.

Di ketika UMNO dilihat begitu terdesak dengan tidak habis-habis menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar segera mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen, mesej baginda amat jelas dan mudah sekali untuk difahami.

Pada Khamis lalu, di mana pada sebelah petangnya Ismail Sabri dijadual menghadap baginda, di paginya baginda telah berkenan meluangkan masa melawat Pusat Amaran dan Bencana Negara untuk mendapat taklimat mengenai keadaan semasa berkaitan banjir yang mungkin melanda seluruh negara pada hujung tahun ini.

Lawatan itu bukan saja menunjukkan keprihatinan baginda berkenaan keadaan banjir di ketika UMNO tidak habis-habis mendesak agar PRU disegerakan, malah memberi isyarat atau mesej bahawa menangani banjir jauh lebih penting daripada baginda membenarkan berlakunya agenda perebutan kuasa.

Berikutan itu, Ismail Sabri yang tujuan utama beliau menghadap itu ialah untuk memaklumkan berkenaan kertas kabinet dan Belanjawan 2023 berikutan kedua-duanya akan berlangsung pada keesokan harinya iaitu hari Jumaat, lantas memberitahu soal pembubaran Parlimen hanya akan dipersembahkan kepada Agong jika beliau sempat berbuat demikian.

Ini kerana, katanya banyak perkara berkaitan kepentingan negara akan didahulukan dalam majlis menghadap itu.

Kemudian, sebagaimana dilaporkan media, soal pembubaran Parlimen tidak disentuh langsung dalam majlis menghadap itu.

Seterusnya, oleh kerana soal pembubaran Parlimen tidak disentuh dalam majlis menghadap itu, malah kemudian Ismail Sabri bertemu pula dengan kepimpinan Top 5 UMNO di WTCKL, khabar angin segera bertebaran bahawa pembubaran Parlimen akan diumumkan pada minggu depan.

Dikhabarkan Ismail Sabri sekali lagi akan menghadap Agong dalam tempoh sehari dua ini sebelum baginda berangkat ke luar negara negara.

Namun pagi tadi, ketika berucap di sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan, baginda sekali lagi memperingatkan tentang perlunya rakyat dan semua agensi berkaitan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar pada hujung tahun ini.

Agong bertitah, persediaan itu bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir tetapi merangka satu kaedah bagi memastikan bantuan kepada mangsa dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif.

Titah baginda, ini selaras dengan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang menuntut umatnya untuk sentiasa melakukan persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

“Setiap tahun pada bulan November, negara akan berhadapan dengan risiko banjir, malah baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia akan berhadapan dengan hujan lebat serta risiko banjir besar.

“Beta ingin mengingatkan seluruh rakyat untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak,” titah baginda seterusnya.

Dengan dua kali dalam tempoh terdekat baginda memberi peringatan tentang banjir, ini adalah mesej yang cukup jelas bahawa baginda selaku ketua negara amat mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak akan bertolak ansur dengan perkara-perkara lain yang boleh dikemudiankan.

Sudah tentu, dalam kedaaan demikian, Ismail Sabri pun yang dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri juga adalah seorang yang mengutamakan kepentingan rakyat, pasti tidak bersedia untuk mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat ini kepada Agong.

Perdana Menteri malah akan dilihat tidak bersama dengan keprihatinan dan jiwa kasih Agong kepada rakyat jika beliau tunduk kepada tekanan Zahid Hamidi untuk mencadangkan pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat ini.

Makna kata, semua pihak, terutama kluster mahkamah UMNO – sabar dan istighfar banyak-banyak dulu – PRU15 hanya sesuai diadakan tahun depan, bukan tahun ini.

Berhentilah daripada terus menekan dan mengasak Perdana Menteri untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen. – ShahbudinHusin 09/10/2022.