Macam-macam gaya menduduki kerusi

 Macam-macam gaya menduduki kerusi


Di dalam masyarakat, kerusi yang diduduki secara rasmi melambangkan kedudukan dan tanggungjawab orang-orang yang mendudukinya. 


Di pejabat ada kerusi kerani, ada kerusi eksekutif dan ada kerusi pengurusan kanan. Di dalam pentadbiran pula ada kerusi di Perlimen dan ada kerusi di Putrajaya.


Di sepenjang kerjaya saya yang merangkumi menjankan firma perakaunan, mengetuai profesion perakaunan, pembentuk piawaian pelaporan kewangan, mengawalselia juruaudit dan pasaran modal serta mentadbir dan mengurus beberapa institusi awam, saya sendiri pun sudah menduduki pelbagai kerusi. Di dalam masa yang sama, saya juga telah melihat pelbagai gaya manusia apabila mendapat kerusi. 


Ada orang yang memang layak untuk menduduki satu-satu kerusi dan dia sangat sayang kerusi yang diduduki. Malah dia mahu mendapatkan kerusi yang lebih tinggi kedudukannya. Maka, walaupun dia bagus kerjanya, dia akan sentiasa mahu mengambil hati orang-orang yang boleh mengekalkannya di kerusi berkenaan atau mengangkat beliua ke kerusi yang lebih tinggi walaupun terpaksa membuat keputusan dengan meletakkan kepentingan orang-orang berkenaan di atas kepentingan organisasi di mana dia menduduki kerusinya. Ni meliputi macam-macam hal lah.


Sebaliknya, ada orang yang layak dan hanya melakukan apa yang betul berdasarkan amanah dan tanggungjawab kerusi yang didudukinya. Dia tak kira samada orang-orang yang melantiknya suka atau tidak kerana dia yakin yang perlu disukakan ialah organisasinya dan Allah SWT. Walaupun prestasinya cemerlang dia tidak semestinya kekal di kerusi berkenaan kerana kepentingan orang-orang yang melantiknya yang tidak selari dengan kepentingan organisasi tidak dilayan. Di zaman ini dan di dalam masyarakat ini, itu satu kesalahan yang besar.


Ada pula orang yang tidak begitu layak untuk menduduki kerusi tetapi sampai juga ke situ di atas pelbagai sebab. Bab dosa orang yang melantik orang yang tidak layak ke kedudukan yang penting macam tak pernah dibincangkan pulak. Orang sebegini ada dua jenis pulak.


Yang sedar diri. Dia tahu dia tidak layak dan sudi mendengar nasihat orang-orang yang lebih pandai di sekelilingnya, jika ada. Jika dia menjadi ketua, di dalam mesyuarat dia adalah pakar membaca doa pembuka mesyuarat. Selepas itu dia membiarkan ahli-ahli mesyuarat yang lain untuk membincangkan dan membuat keputusan. Apabila mesyuarat tamat, dia baca pula doa penutup mesyuarat. Orang-orang yang tidak layak tetapi sedar diri ini hanya melembabkan organisasi tetapi kurang merosakkannya.


Ada pula orang-orang yang tidak layak mendapat kerusi tetapi lupa diri. Apabila dia menduduki mana-mana kerusi di luar kelayakannya, dia berada dia lebih pendai dari orang yang lebih layak pula. Lalu dia mengeluarkan arahan-arahan bodoh. Oleh kerana kerusi yang diduduki itu ada kuasa untuk mengarah, orang-orang bawah yang tidak kuat akan menurut sahaja arahan demikian. Akhirnya organisasi di bawah kuasa orang-orang yang tidak layak yang lupa diri ini akan hanyut dan rosak. Sekiranya tindakannya dipersoalkan, dia akan menipu tanpa rasa segan silu lagi. 


Mungkin sebenarnya ada lebih banyak variasi berkenaan orang-orang yang menduduki pelbagai jenis kerusi ini. Inilah sebabnya memilih orang yang tepat amat penting. Ini termasuk juga memilih di dalam pilihanraya. Bagi yang tidak mahu keluar mengundi, itu juga adalah satu pilihan. Kena bersedialah juga untuk menjawab di hadapan Allah nanti. 


Saya tidak mengulas bab Bajet 2023 kerana nak tunggu Parlimen ni masih ada ke sehingga minggu depan. Kalau masih bersidang, baru kita ulas. Jika tidak, bajet ni dah jadi macam iklan lah pulak. Habis masa kita saja mengulasnya. Namun, saya akan ulas perkenaan kandungan Tinjauan Ekonomi 2023 yang merupakan satu dokumen rasmi kerajaan yang mengandungi pelbagai maklumat yang menarik.

No comments: