Sokongan di Melaka boleh ulangi pencapaian PRU 14?
Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu tidak menghalang gabungan itu untuk mendapatkan sokongan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, terdapat bukti yang relevan berlaku kebangkitan pengaruh PH di Selatan tanah air berdasarkan beberapa siri ceramah yang dianjurkan sejak kebelakangan ini.
Katanya, ceramah di Melaka minggu lalu yang menghimpunkan barisan pimpinan PH menyaksikan begitu banyak rakyat yang tidak lagi mahu diperkotak katikkan oleh BN – PN keluar menggema laungan Reformasi.
“Saya sering mengingatkan rakan rakan pada tahun 2018, pada PRU lalu, tidak ada satu umat pun menjangkakan Melaka akan berlaku perubahan kerana BN menang 2/3 majoriti di DUN.
“Tetapi beberapa hari sebelum mengundi kita menyaksikan satu himpunan dengan 70,000 masyarakat hadir. Orang berjalan 10 kilometer untuk mendengar ucapan pimpinan. Ketika itu ia satu gelombang yang tidak boleh ditahan oleh Idris Harus pada ketika itu sebagai Pengerusi BN.
“Hari ini dengan semangat yang sama, setelah PRN dan mereka lihat Kerajaan Negeri tidak ditadbir dengan meyakinkan. Jadi mereka ingin datang dan dengar. Inilah program pertama kali dibuat selepas PRN dan pandemik yang membariskan semua pimpinan PH.
“Kita lihat istilah Melaka bangkit. Saya harap rakyat Melaka dapat belajar dari kepedihan hilang kerajaan dan saya fikir anak muda Melaka akan bangkit kembali kalau mereka yakin dengan mesej perubahan dan mesej positif untuk masa hadapan negara serta masa hadapan mereka,” kata Shamsul dalam siri Borak Dahsyat, malam tadi.
Bagi Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN itu, gema dari Selatan ini membuktikan rakyat mula muak dengan propaganda membodohkan rakyat yang dipantakkan BN – PN dan mereka mahu sekali lagi melakukan perubahan.
Lebih daripada itu, katanya, rakyat tidak mahu negara menjadi lebih parah. Sedangkan cara untuk mengubat penyakit ekonomi dan sosial pula hanya mampu ditawarkan oleh PH.
“Rakyat telah melihat berlaku pengkhianatan dari PH, tertubuhnya PN dan kerajaan kembali kepada BN. Mereka telah membuat perbandingan keadaan mana lebih baik, mana lebih parah
“Sekarang ekonomi buruk. Inflasi kita mencapai 4.7%, meningkat. Muhyiddin lekat dalam kepala rakyat sebagai Perdana Menteri gagal. PM Ismail Sabri pula sibuk buat pengumuman dan berlaku pertembungan di Umno sibuk mendesak PRU, padahal kerajaan boleh mentadbdir setahun lagi.
“Umno kini diheret ke jurang yang dalam oleh presiden mereka kerana beliau mempunyai kes dan tidak boleh bertanding (jika didapati bersalah oleh mahkamah).
“Jadi, sudah sampai masanya rakyat menilai dan melihat pasukan mana yang betul betul serius untuk masuk gelanggang politik dan memulihkan negara serta mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa kepada negara kita,” katanya lagi.