UMNO PERASAN MASIH KUAT MACAM ZAMAN 80AN.-DENGAR APA JEBAT DERHAKA NI HAMPUT..

 






Menangkan Umno dulu PRU15, baru berebut jawatan dalam parti – pemimpin Umno

Menangkan Umno dulu PRU15, baru berebut jawatan dalam parti – pemimpin Umno

Pemimpin UMNO khususnya yang memiliki nama besar dalam parti perlu mengutamakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbanding sibuk memikirkan perebutan jawatan dalam parti.

Itu gesaan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mendakwa terdapat individu yang sibuk melobi ‘jawatan nombor satu atau nombor dua’ parti ketika ini, sedangkan jentera UMNO bergelut melaksanakan persiapan berdepan PRU-15.

Kumpulan itu didakwa cuba memancing sokongan Ketua Bahagian UMNO secara senyap-senyap, dengan menggunakan perjumpaan untuk berbincang gerak kerja PRU-15 sebagai medan berkempen dan melobi sokongan ketika pemilihan UMNO nanti.

Nur Jazlan menegaskan, gerakan yang turut membabitkan beberapa pemimpin UMNO Johor itu tidak sepatutnya berlaku, ketika Barisan Nasional (BN) Johor berdepan cabaran besar untuk menang sekurang-kurangnya 20 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU-15 nanti.

“Dalam saat-saat genting ini, dia dan kumpulannya sepatutnya fikir macam mana nak pastikan UMNO dan BN boleh menang dan mengembalikan kegemilangan UMNO di Johor, bukannya sibuk merebut jawatan dalam parti.

“Bukan satu kerja yang mudah (menang 20 daripada 26 kerusi Parlimen Johor) dengan pola dan trend pengundi yang sudah berubah sekarang ini.

“UMNO/BN tak boleh lagi hidup dalam cerita zaman silam di mana majoriti rakyat suka dan memilih parti komponen ini, sebaliknya semua pihak perlu guna segala kemahiran, kebijaksanaan dan pengalaman membantu memenangkan semula UMNO/BN di Johor.

“Janganlah utamakan kepentingan diri dan terlalu gila mahukan jawatan nombor satu atau nombor dua dalam parti di peringkat pusat, tumpukan pada PRU-15 dulu barulah boleh bercerita pasal pemilihan UMNO,” katanya di Facebook, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Pulai, mengingatkan bahawa kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak boleh dijadikan sandaran dan gambaran keputusan PRU-15.

Tegasnya, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad sudah memberi gambaran jelas mengenai cabaran besar yang dihadapi parti itu, apabila memaklumkan BN Johor dilihat hanya mampu menang 10 daripada 26 kerusi Parlimen ketika ini.

“Jadi, nasihat saya pada kumpulan itu, tak usahlah nak kemaruk sangat kejar pemilihan UMNO kalau kedudukan kerusi pada PRU nanti pun belum tahu nasibnya,” katanya, lapor BH Online.

Nur Jazlan yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, turut menzahirkan kekecewaan pada pemimpin kanan dalam kumpulan itu, yang didakwa menghilangkan diri selepas UMNO dan BN tewas pada PRU-14.

“Jangan lupa sejarah bila UMNO kalah PRU-14 dan kehilangan manisan nikmat kerajaan, pemimpin kanan yang kita sebulat suara nak tolak ke depan untuk melawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH), dia toleh ke belakang dan lari lintang pukang.

“Sekarang selepas UMNO dipulihkan dan kembali ke ‘drivers seat’ untuk PRU-15, dia pula yang muncul untuk menuntut takhta macam hak lahir dia,” katanya, mengingatkan ahli UMNO untuk berhati-hati dalam memilih pimpinan parti.