Berdasarkan kenyataan terbaru Perdana Menteri ini, asas paling mudah untuk difahami ialah Bersatu dan PN tidak perlulah berharap lagi untuk memperolehi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Lebih baik lupakan saja dan tumpukan sepenuh tenaga yang ada mulai sekarang untuk menghadapi PRU15.
Tidak perlu lagi bagi Bersatu dan PN untuk menulis surat atau mengeluarkan kenyataan media mahu bertemu Ismail Sabri Yaakob bagi menuntut jawatan tersebut.
Secara prinsipnya, jawatan itu tidak menjadi keperluan bagi Perdana Menteri kerana dengan adanya empat menteri kanan sekarang, beliau seolah-olah sudah mempunyai empat Timbalan Perdana Menteri, selain PRU15 juga sudah begitu dekat tarikhnya.
Maka, hanya membazir saja membuat lantikan pada waktu seperti sekarang ini.
Sebagaimana dipetik daripada sebuah portal berita, Ismail Sabri berkata beliau tidak ada keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri pimpinannya.
Perdana menteri berkata demikian setelah Perikatan Nasional (PN) dilapor mahu mengatur pertemuan rasmi untuk mendesaknya menunaikan janji melantik TPM daripada Bersatu.
“Saya dah ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya, seolah-olah ada empat TPM.
“Seolah-olah saja walaupun tidak. Benda (kemudahan) yang diperolehi hampir sama – ada ‘rider’ (pengiring berkenderaan), ada ‘bodyguard (pengawal peribadi), macam-macam lah. Lebih kurang TPM.
“Jadi setakat ini, tidak menyusahkan (atau) membebankan sayalah tanpa TPM sebab keempat-empat menteri kanan saya sudah pun mewakili parti yang dah ada,” kata Ismail yang juga naib presiden Umno, kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.
Empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri Ismail adalah Azmin Ali dan Radzi Jidin dari Bersatu, Hishammuddin Hussein (Umno) dan Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).
Ismail berkata secara umum, komposisi Jemaah Menteri yang ada sekarang diterima baik “semua orang” dan tidak mahu perkara itu dijadikan “isu besar yang boleh merosakkan hubungan antara kita.”
“Yang cakap banyak tu orang di luar. Yang dalam Jemaah Menteri tak pernah timbul isu pun,” kata Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bera.
Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.
Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.
Khamis lalu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin berkata beliau telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Ismail.
Hamzah turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.