Dahulu kerja bantu keluarga, hari ini keluarga bantu anak bekerja
Kekurangan peluang pekerjaan setaraf kelayakan akademik amat kritikal dewasa ini yang menyebabkan anak muda lepasan pusat pengajian tinggi tidak mempunyai masa hadapan yang cerah.
Hal itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, bakal menyebabkan anak muda kurang berminat untuk menyambung pengajian atau yang telah graduasi, tidak mampu memiliki kerjaya cemerlang.
“Hari ini orang belajar dapat banyak A, belajar di universiti nak dapat kerja cukup payah. Kadar pengangguran graduan lebih tinggi daripada kadar pengangguran anak muda. Ada pendidikan lebih baik, lagi sukar dapat kerja.
“Hari ini kebanyakan yang ada di universiti pula atas pinjaman PTPTN. Graduasi, dapat kerja gaji rendah. Saya jumpa seorang jurutera asal Kelantan dapat kerja ECRL, dapat kerja lingkungan gaji minima.
“Jadi dalam keadaan itu, kita tidak boleh salahkan anak muda jika mereka kerja Food Panda, Grab atau calling centre. Kerja yang tidak perlu belajar, lepas SPM dia boleh buat kerja itu dapat RM3,000 – RM4,000 sebulan
“Masalahnya, anda graduan IT habis belajar dari Cyberjaya buat kerja Grab, sebab kerja IT dapat RM2,000, bawa Grab lagi bagus. Tetapi 3 tahun di jalan raya, jika kamu mahu minta kerja IT majikan mahu terima tak? Lebih baik ambil junior yang skil dia masih baharu, atau pun ambil yang pernah kerja IT dan ada pengalaman.
“Tentulah anda sebagai graduan yang tidak praktis, kamu di bawah. Ini adalah masalah kita hari ini,” katanya dalam ceramah sulung trak Ayuh Malaysia, malam tadi.
Ahli Parlimen Setiawangsa yang diamanahkan untuk mengupas isu pendidikan itu turut membandingkan kerjaya ayahnya yang pada waktu lampau mendapat pendidikan di universiti, dan kemudian menjadi pegawai kanan kerajaan serta beroleh pendapatan lumayan.
Beliau membandingkan graduan hari ini yang tidak mungkin mampu menampung kehidupan keluarga dengan gaji yang dibawa pulang.
“Generasi ayah saya, dia boleh subsidi keluarga di kampung dan boleh subsidi saya yang baru mula bekerja.
“Generasi anak anak kita bagaimana? Soalan yang ini kita kena jawab,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Nazmi juga menggalakkan rakyat Malaysia agar terus berjuang dan segera melupakan pengalaman pahit 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang didominasi pasukan yang kini menjadi pengkhianat.
Beliau meminta rakyat melakukan sekali lagi perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 15.