Nik Hasyudeen
Kenaikan gaji dan produktiviti
Dalam seminggu lagi kesan pindaan ke atas Akta Pekerja akan mula dirasai oleh majikan-majikan di Malaysia. Sebelum ini kerajaan telah menaikkan gaji minima kepada RM 1,500 dari RM 1,200.
Walaupun ada beberapa peruntukan-peruntukan yang diubah, pada pandangan saya peruntukan yang akan memberikan kesan besar kepada perniagaan kecil dan sederhana ialah pindaan berkenaan kerja lebih masa.
Ada 2 perkara yang perlu dipatuhi mulai 1 September ini:
1. Waktu kerja dipendekkan dari 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.
2. Gaji pekerja yang mesti dibayar kerja lebih masa dinaikkan darim RM 2,000 kepada RM 4,000 mengikut kaedah Akta Pekerja dikuatkuasakan.
Perkara seperti penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari tidak melibatkan kos tetapi akan memberi kesan ke atas produktivi perniagaan.
Manfaat pemberhentian pekerja berdasarkan Akta Pekerja juga diperpanjangkan kepada pekerja yang bergaji sehingga RM 4,000.
Kita semua tahu Malaysia adalah di antara negara yang nisbah gaji kepada perolehan perniagaan amat kecil. Oleh itu langkah-langkah yang diambil untuk menaikkan pendapatan pekerja dikira pada arah yang betul.
Namun, mungkin pembuat-pembuat dasar yang gajinya tetap diterima di dalam apa keadaan sekali pun termasuk di ketika aktiviti ekonomi ditutup semasa pandemik Covid-19 lupa bahawa peniaga-peniaga (yang berjaya mengharungi wabak Covid) baharu sahaja mahu mengukuhkan perniagaan masing-masing setelah dipaksa berniaga di dalam keadaa yang bercelaru disebabkan polisi-polisi yang dibuat semasa pandemik oleh pembuat-pembuat dasar yang tetap menerima gaji itu.
Apabila kos perniagaan tiba-tiba naik, perniagaan yang berdaya maju (viable) pun boleh menjadi bermasalah. Sekiranya kenaikan kos ini tidak disertai dengan peningkatan produktiviti, perniagaan yang berada di dalam keadaan cukup-cukup makan sahaja mungkin terkorban.
Saya maklum orang-orang politik sedang mencari-cari sokongan untuk pilihanraya yang akan datang ini. Menaikkan gaji dan upah adalah satu tindakan yang popular. Janganlah disebabkan undi, ada majikan yang terkorban. Itu akan menyebabkan pekerjanya terpaksa mencari pekerjaan yang lain, jika ada.
Reaksi yang logikal dari pihak pengusaha pekerjaan ini peningkatan produktivi melalui pelaburan di dalam teknologi dan juga pembaharuan kaedah bekerja. Mereka akan mencari jalan untuk berniaga dengan keperluan pekerja yang paling minima. Ini sememangnya sudah diusahakan sebelum 1 September lagi tetapi kesan dari peruntukan Akta Pekerja ini akan menggiatkan lagi usaha ini. Akhirnya bilangan pekerjaan di dalam ekonomi akan terkesan.
Mereka mungkin juga akan menaikkan harga jualan yang akhirnya ditanggung oleh pelanggan, termasuk juga pekerja yang dibayar gaji lebih itu. Kesan ke atas inflasi tentunya ada.
Saya memang berharap sektor perniagaan kecil dan sederhana menjadi pemacu pembentukan pekerjaan. Namun, jika kos untuk memulakan perniagan menjadi tinggi, keghairahan untuk memulakan perniagaan di kalangan anak-anak muda boleh juga terkesan.
Kita tengoklah kesan jangka panjang polisi-polisi yang dikuatkuasakan melalui Akta Pekerja ini. Bagi perniagaan yang sedia ada, kos tambahan yang ditanggung akan mengurangkan keuntungan (bagi yang untung). Jadi, tentunya bonus yang biasa dibayar akan diselaraskan juga. Mungkin jumlah gaji yang dibawa balik (take home salary) tidak akan berubah dengan ketara kerana manfaat-manfaat yang tidak wajib boleh dikaji semula bagi mempastikan kos perniagaan masih munasabah.
Polisi ada kesan jangka pendek dan jangka panjang. Inilah sebabnya pembentuk polisi mestilah orang-orang yang mampu memahami kesan polisi ke atas pelbagai pihak. Dia kena berani untuk melawan tekanan dari orang-orang yang mahu populariti kerana mahu kutip undi. Jika pembuat polisi takut untuk menyatakan yang benar dan sayangkan kerusi yang didudukinya, dia kena jawablah dengan Allah mengapa dia bertindak begitu.
Semua tindakan kita di dunia ini ada kira bicaranya di akhirat.