Lagi cerita orang Melayu ‘malas’



MOHSIN ABDULLAH


Kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang orang Melayu tidak suka berpolitik termasuk mengundi pada pilihan raya umum.

Beliau dipetik FMT sebagai berkata sikap tidak ambil peduli itu akhirnya menyebabkan kuasa politik negara dikuasai bukan Islam dan golongan liberal pada PRU lalu iaitu PRU14 yang diadakan pada 9 Mei 2018.

Bagi saya apa yang Hadi maksudkan dengan berkata “orang Melayu tidak suka berpolitik termasuk mengundi “pada PRU ialah orang Melayu malas berpolitik dan malas keluar mengundi”. Dan apabila beliau guna istilah “tidak ambil peduli” maknanya orang Melayu “tak ambil pot”.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Pelik kerana tidak kah kita kerap dengar ramai pemimpin parti politik memberitahu kita rakyat biasa khususnya orang Melayu supaya jangan banyak sangat berpolitik. Beri tumpuan kepada kerja dan sebagainya.

Oleh itu, jika benar orang Melayu “malas” dan “tak ambil pot” terhadap politik, maka ini sesuatu yang bagus kerana orang Melayu beri tumpuan terhadap soal kerja, perniagaan dan agama.

Tetapi betul ke orang Melayu tidak suka berpolitik? Tidak suka keluar mengundi dan tidak ambil peduli soal politik seperti yang dikata Hadi?

Realitinya sekarang ada banyak parti politik Melayu. Maknanya ahli parti politik Melayu orang Melayu lah. Tak kan orang Cina, India, Iban atau Dayak pula. Parti bukan Melayu yakni parti berbilang kaum pun majoriti atau ramai ahli Melayu.Oleh itu, macam mana pula Hadi kata orang Melayu tak suka berpolitik dan tidak ambil peduli soal politik? Banyak parti politik Melayu dan ahlinya orang politik Melayu buktinya.


 Bukan itu sahaja. Tentu kita pernah dengar tuduhan orang Melayu suka main politik di pejabat, dalam NGO malah dalam persatuan sukan pun.Mengenai orang Melayu tidak suka keluar mengundi pula. Ini pun pelik. Saya tidak punya perangkaan secara terperinci. Namun, secara am kita semua tahu bilangan orang Melayu yang mendaftar sebagai pengundi besar. Maklumlah orang Melayu majoriti penduduk Malaysia. Jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi pada PRU14 pun sememangnya besar. Sila rujuk laman web SPM untuk kepastian.

Hakikatnya pada PRU14, apabila BN tumbang, Umno menang 47 kerusi (sebelum lompat parti berlaku ye). Boleh dikatakan Umno “menang” dalam kalah. Bersatu yang asalnya Umno menang 13 kerusi, Amanah yang asalnya PAS menang 11.Malah parti Hadi sendiri menang 18 kerusi Parlimen. Dan PAS juga berkuasa di Terengganu negeri asal presidennya serta Kedah dan tentulah Kelantan.Semua kemenangan itu ialah hasil undi majoriti orang Melayu. Itu belum mengambil kira kemenangan calon Melayu yang mewakili PKR parti berbilang bangsa. Maksudnya orang Melayu keluar beramai-ramai mengundi. Macam mana pula Hadi kata orang Melayu tidak suka keluar mengundi? Cuma orang Melayu undi pelbagai parti. Bukan semua undi parti pimpinan Hadi.Seperkara lagi. Kata Hadi sebab sikap tidak ambil peduli orang Melayu (dalam soal politik) kuasa politik negara jatuh kepada orang bukan Islam dan golongan liberal. Hakikatnya kerajaan ketika itu diketuai Dr Mahathir Mohamad, orang Islam. Meskipun DAP (parti berbilang kaum tetapi majoriti Cina) duduk dalam kerajaan Pakatan Harapan ia “dikelilingi” Bersatu dan Amanah kedua dua parti Melayu Islam dan juga PKR yang bermajoriti Melayu.

Apa pun Hadi memuji orang bukan Islam yang katanya “tidak pernah mengetepikan soal politik walaupun bertugas di dalam hutan di Sabah, Sarawak mahu pun di luar negara namun mereka sanggup balik ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Jauh bezanya dengan kita orang Islam.

Pada masa yang sama Hadi menuduh golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara. Kata beliau, golongan yang menguasai ekonomi ialah mereka yang mengejar keuntungan secara haram dan mereka kemudian merosakkan politik kerana mereka sumber atau punca rasuah. Dan kata beliau, majorti mereka ialah orang bukan Islam dan bukan Bumiputera.Sudah tentu kata-kata atau tuduhan seperti itu bukan sahaja akan menguris perasaan golongan bukan Islam, bukan Bumiputera tetapi juga menimbulkan kemarahan.Pastinya juga kata-kata seumpama itu tidak bagus dikeluarkan pemimpin politik yang partinya bakal menghadapi pilihanraya umum dan bercita cita menjadi kerajaan.Tuduhan seperti itu akan membuat golongan bukan Islam menoleh muka daripada partinya. 

Hadi sebagai ahli politik berpengalaman tahu akan ini semua. Mustahil beliau terlepas cakap.Di samping itu, pendirian orang partinya mengenai Bon Odori, Oktoberfest dan terbaharu penganjuran konsert secara bertalu-talu hanya akan membuat golongan bukan Melayu, bukan Islam menolak PAS.Ini bukanlah sesuatu yang baharu.

 Kita tahu PAS amat sukar untuk mendapat sokongan bukan Islam selama ini walaupun ada Kelab Penyokong PAS terdiri daripada ahli bukan Islam, bukan Melayu.Dengan Hadi berkata apa yang beliau kata serta pendirian PAS yang dilihat golongan bukan Islam sebagai tidak menghormati hak mereka dan mencampuri urusan golongan berkenaan adakah PAS khususnya Hadi sebenarnya sudah “putus asa” untuk mendapat undi bukan Islam bukan Melayu?Adakah mereka kini beranggap walau apa pun dibuatnya golongan bukan Islam tetap menolak PAS? Lantas lebih elok dan praktikal untuk PAS menumpu usaha terhadap sokongan orang Melayu Islam.

 Sememangnya itu pun yang mereka lakukan dan sememangnya itu yang logikal untuk mereka.Namun PAS sedar mereka tidak boleh memerintah negara ini bersendirian secara mutlak. Mereka tahu sokongan atau undi semua bangsa dan agama diperlukan. Bukan hanya undi Melayu Islam.Kerana itu, PAS pada 1990 pernah berhubungan dengan Gagasan Rakyat yang komponennya termasuk DAP walaupun PAS duduk dalam Angkatan Perpaduan Ummah dianggotai parti politik Melayu. Dan PAS sekali lagi duduk bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, meskipun PAS boleh bertindak “menyakiti” perasaan golongan bukan Islam kerana yakin mereka mereka boleh “survive” dengan undi Melayu (sebab mendakwa mereka pejuang Islam) mereka tetap perlu mencari teman dalam gabungan politik yang mampu meraih sokongan pengundi bukan Melayu. Untuk dapat undi secara tidak langsung.Tetapi dengan melukai hati golongan bukan Islam dan bukan Melayu, PAS akan menyukarkan kedudukan mana-mana parti dalam apa juga gabungan yang mereka sertai. 

Ini termasuk kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan juga Umno (kerana PAS nampaknya masih berminat bermesra dengan Umno).Ini kerana Bersatu juga Umno masing masing mahu menonjolkan imej “moderate” dan bukan “Islam extreme” supaya PN mahu pun BN boleh menambat hati pengundi bukan Islam dan bukan Melayu melalui rakan kongsi masing-masing dalam gabungan mereka.Cukup sampai disini. Tak nak tulis panjang panjang. Malas. Saya kan orang Melayu?

No comments: