Minta Umno kembali ke MN, gabungan parti Islam adalah ‘perintah Tuhan’, kata mursyidul am PAS
PETALING JAYA: Umno diminta mempertimbangkan semula kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), kata Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menggunakan frasa ‘perintah Tuhan’ untuk menegaskan keperluan penyatuan tiga parti Islam untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Hashim berkata, PAS tetap dengan pendirian mewujudkan perpaduan ummah membabitkan MN yang dahulunya dianggotai partinya serta Umno dengan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu kerana ia telah diterima akar umbi.
Menurutnya, gesaan supaya umat Islam bekerjasama adalah perintah Tuhan bukannya seruan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
“Perpaduan ummah ini perintah dari Tuhan, bukan dari presiden Umno, presiden PAS atau presiden Bersatu. Ini Tuhan yang suruh, jadi Umno pun Islam, PAS pun Islam, Bersatu pun Islam kita kena tunduk kepada Tuhan,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, Hashim meminta Umno kembali kepada perpaduan MN dan mengingati semula piagam perpaduan ummah ditandatangani yang pada perenggan akhir menjelaskan sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada “Allah dan Rasul”.
“Kenapa tak rujuk? Allah suruh apa, Rasul suruh apa, memang ada perselisihan (antara Umno, Bersatu) jadi yang boleh maaf, maaflah.
“Sebab itu apa pun keputusan Umno ke arah perpisahan dan pembatalan perjanjian, PAS tak batal, kita terbuka kalau sekiranya pemimpin yang ada sekarang tak mahu tetapi pemimpin akan datang mungkin mahu perpaduan,” katanya.
Umno sebelum ini menolak penyertaan Bersatu dalam MN menyebabkan hubungan dengan PAS semakin renggang sehingga membawa kepada pembentukan PN.
Pada Perhimpunan Agung Umno 2020, parti itu memuktamadkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.
Pada pilihan raya negeri di Johor dan Melaka, berlaku pertembungan di antara calon Pas, Umno dan Bersatu yang menyaksikan kebanyakan kerusi Umno mewakili Barisan Nasional (BN).