Dari Rafizi Ramli : SYARIKAT PALSU DIMILIKI KELUARGA MENTERI

 



Dari Rafizi Ramli

22 Ogos 2022

SYARIKAT PALSU DIMILIKI KELUARGA MENTERI

Minggu lalu, saya telah mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat palsu yang mirip nama syarikat Perancis (yang benar-benar wujud) telah digunakan untuk menjadi pembekal alat-alat ganti (“spare parts”) kepada projek kapal LCS.

Siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan saya menunjukkan kesimpulan-kesimpulan berikut:

1. Dua buah syarikat palsu yang menggunakan nama Alizes Marine telah didaftarkan. Sebuah syarikat bernama Alizes Marine Limited yang didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan.

2. Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki. Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan oleh pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers).

3. Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh. (Rujuk https://offshoreleaks.icij.org/nodes/55047357).

4. Zainab Mohd Salleh juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS.

Ada beberapa bentuk penyelewengan yang berlaku.

Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi juru runding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu). Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

Siapa Zainab Mohd Salleh ini yang begitu berpengaruh dalam projek LCS?

Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai BERSATU selepas PRU2018.

Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad.

Muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut “It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab” yang bermaksud “Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab”.

Beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Dato’ Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang.

Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan. Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff) atau isterinya.

Pelbagai maklumat ini akan keluar pada kadar yang segera.

Hakikat bahawa skim-skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan.

Sebab itu, saya dari awal telah menuntut penjelasan dari Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind, dan Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Saya harap pendedahan saya pada hari ini menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal ini meletup. Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari BERSATU dan PAS mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.

Saya menunggu reaksi pimpinan UMNO, PAS dan BERSATU yang membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini.

RAFIZI RAMLI

 

No comments: