Mana dokumen siasatan kapal yang dinyahklasifikasi?
Kabinet Malaysia berjanji untuk nyahklasifikasikan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) minggu lalu.
Bagaimanapun, menurut mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sehingga hari ini belum ada ura ura tarikh laporan siasatan JKSTUPKK tersebut akan didedahkan.
Beliau berkata, berbanding pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang lalu, 16 laporan telah dinyahklasifikasikan untuk dilihat oleh umum dan boleh dibaca di pautan: https://www.mod.gov.my/index.php/ms/land-swap.
“Ketika saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan, saya telah mengeluarkan surat penghargaan kepada JKSTUPKK kerana membentangkan 16 laporan siasatan ke atas isu land swap di antara bulan Mei hingga Disember 2018 yang melibatkan hampir 3,000 ekar tanah Kementerian Pertahanan bernilai RM4.8 bilion.
“Saya telah mengarahkan supaya kesemua 16 laporan siasatan dinyahklasifikasikan untuk pengetahuan umum.
“(Berbanding ketika ini) mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menyahkalsifikasikan laporan siasatan JKSTUPKK terhadap perolehan Littoral Combat Ship (LCS) dan laporan audit forensik, tetapi hampir seminggu berlalu belum ada tindakan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mohamad berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpegang pada janji beliau untuk mendedahkan hasil siasatan dan tidak mengulangi ‘penyakit’ lama pentadbiran BN yang suka berbohong.
“Saya berharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memastikan janji beliau dan keputusan Jemaah Menteri tidak dibelakangi,” katanya.
Selain itu, Mohamad juga mengingatkan rakyat tunjuan JKSTUPKK diwujudkan iaitu bagi melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan di pelbagai kementerian.
JKSTUPKK juga katanya, mengenal pasti sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pertama yang saya hadiri, selepas dilantik sebagai menteri saya telah cadang untuk menubuhkan JKSTUPKK diketuai oleh mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
“Tan Sri Ambrin seorang tokoh yang dihormati rakyat, bukan ahli politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Beliau merupakan Ketua Audit Negara sehingga tahun 2017,” katanya lagi.
Tambah Mohamad, dari Mei 2018 hingga April 2021, JKSTUPKK telah menyiasat 39 kes, di antaranya 26 kes melibatkan Kementerian Pertahanan. Siasatan JKSTUPKK meliputi 9 kementerian, dan secara keseluruhan melibatkan bajet kerajaan sebanyak RM 47 billion.
JKSTUPKK membariskan kelemahan ketara dalam banyak pemerolehan adalah perancangan yang lemah, due diligence yang tidak komprehensif, kelemahan klausa kontrak, kelemahan penguatkuasaan kontrak, gagal mengikut garis panduan, pembelian prototaip, perolehan secara rundingan terus yang kurang telus, kekurangan pemantauan dan campur tangan anggota pentadbiran dalam proses perolehan.
Tambah Mohanad, kes pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) adalah salah satu kes yang paling tidak dapat diterima dalam laporan JKSTUPKK.