BERTABAHLAH NAJIB


 Semalam di Mahkamah Persekutuan, hanya dalam tempoh beberapa jam, dua permohonan Najib Razak ditolak oleh lima hakim yang bersidang.

Pertama, berkenaan usul untuk membawa bukti baru yang cuba mengaitkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan konflik kepentingan dan kedua, permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga atau empat bulan lagi.

Kedua-dua permohonan tersebut ditolak sebulat suara oleh lima hakim yang ketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Mahkamah Persekutuan sebaliknya hanya memberi masa kes rayuan ditangguhkan selama sehari iaitu hari ini dan kes akan mula didengar esok, Khamis sehingga 26 Ogos sebagaimana tarikhnya telah lama ditetapkan lama sebelum ini.

Berikutan penolakan itu, Najib dan pasukan peguamnya tiada pilihan lain selain harus berusaha sebaik mungkin menghadapi kes rayuan terakhir tersebut bermula esok.

Oleh kerana ini adalah kes rayuan terakhir di mahkamah paling tinggi sekali, destinasi terakhir Najib selepas ini hanya ada dua – ke penjara Sungai Buloh atau boleh balik ke rumah.

Lantaran itu, di media sosial kemudiannya sarat dengan komen-komen yang rata-ratanya memperlihatkan laluan untuk beliau ke penjara semakin dekat jadinya.

Bertabahlah Najib…

Tetapi, sebagaimana ditegaskan Zaid Ibrahim selepas kedua-dua permohonan mereka ditolak semalam, yang mana firmanya telah dilantik mengendalikan rayuan terakhir ini, pasukan peguamnya akan berusaha sebaik mungkin untuk membela bekas Perdana Menteri itu.

Meski terlihat gambaran kekecewaan yang jelas pada wajah Najib dan pasukan peguamnya atas keputusan mahkamah menolak permohonan mereka, tapi itulah realiti dalam proses perundangan yang harus diterima dengan lapang dada.

Najib sendiri dalam sidang media semalam, tidak menyembunyikan kekecewaan atas penolakan mengemukakan bukti baru itu, meski kerana skandal 1MDB yang berlaku, rakyat pun tidak kurang kecewa juga dengan apa yang dilakukannya selama ini.

Sekali lagi, bertabahlah Najib….

Yang penting, selagi belum sampai ke penghujung, ia belum lagi merupakan titik penamat yang muktamad.

Kata putus akhir adalah selepas kedua-dua belah pihak – pendakwa dan peguambela berhujah dan setelah itu, lima hakim memberi penghakimannya.

Setelah melalui proses perbicaraan yang panjang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini, kini giliran Mahkamah Persekutuan pula iaitu mahkamah terakhir dalam proses memberi keadilan memainkan peranannya.

Mahu tidak mahu, proses ini hendaklah diterima oleh semua orang sebagaimana kita juga biasa menerima dengan lapang dada banyak keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini.

Sama ada memihak kepada kita atau sebaliknya, kesediaan menerima dengan lapang dada itulah keadilan yang sebaik-baiknya kerana ia memberi peluang untuk seseorang itu mengambil keputusan mahkamah itu sebagai pengajaran dan masa untuk merenung kembali kesilapan-kesilapan masa lalu sebagai bekalan menjalani kehidupan sementara di dunia sebelum berlabuh ke destinasi abadi – akhirat yang kekal selama-lamanya. – ShahbudinHusin 17/08/2022.