Kenapa surat panglima tentera kepada PM tidak dihirau
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang masuk minggu kedua masih ‘panas’ diperkatakan oleh rakyat Malaysia.
Baru baru ini dalam bertanyakan lanjut isu berkenaan, Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil bertemu mantan Timbalan Menteri Pertahanan Pakatan Harapan, Liew Chin Tong untuk mendengar sendiri pengalaman beliau berkaitan isu LCS.
“Baru sekarang saya tahu, keputusan audit projek pembinaan 6 kapal LCS dibuat selepas Chin Tong lawat limbungan BNS pada 2018. Dia kata jawapan-jawapan yang diberi kepada dia waktu itu pasal kenapa LCS lewat disiapkan tidak meyakinkan.
“JKSTUPKK kemudian diminta siasat, dan audit disiapkan dalam masa enam bulan, dan Menteri Pertahanan serta Timbalan terima taklimat pada Ogos 2019,” kata Fahmi.
Kesimpulannya, ujar beliau, keputusan Kabinet pada Februari 2020 adalah untuk mengklasifikasikan LCS sebagai ‘projek sakit’, mencari dana untuk terus menyiapkan 6 kapal berkenaan demi keselamatan negara dan bawa pesalah-pesalah yang terlibat dalam skandal berkenaan ke muka pengadilan.
Cuma kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sebelum rancangan menstruktur semula projek LCS dapat dilaksanakan, Langkah Sheraton telah mengambil tempat.
Oleh itu, tidak sebagaimana bekas Perdana Menteri Najib Razak yang pernah bertanya di media sosial 6 soalan bertujuan menyalahkan PH atas faktor utama kapal tersebut gagal disiapkan, Fahmi bertanya 2 soalan.
“Setelah mendengar penjelasan dan pandangan Chin Tong, saya tak ada 6 soalan macam Mat Sakau (Najib). Saya cuma ada dua sahaja
“Kepada Zahid (bekas Menteri Pertahanan), kenapa pada 26 Mei 2011 kamu setuju sistem Singma iaitu rekabentuk kapal perang tapi tiba-tiba pada 11 Julai 2011 kamu minta tukar ke sistem Gowing, iaitu kapal peronda?
“Kepada Najib kenapa 2 surat teguran Panglima Tentera Laut tentang proses perolehan LCS ini tak diendahkan?
“Semoga keadilan dapat ditegakkan demi warga TLDM,” katanya lagi.