PKR mahu jadi pemenang PRU 15, bukan pembangkang
Kemusnahan ekonomi dan inflasi yang melampau mewajibkan KEADILAN menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Kongres yang diadakan dalam keadaan negara tidak stabil, keutamaannya adalah untuk menang pilihan raya dan mengambil alih pemerintahan.
Hal itu diungkapkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional KEADILAN ke 16 di IDCC, Shah Alam.
“Di tengah suasana ini KEADILAN mengadakan kongres tahunan membawa tekad untuk mengukuhkan parti dan menguatkan Pakatan Harapan serta menjana kekuatan baru untuk masuk PRU 15
“Masuk PRU dengan satu matlamat yang jelas untuk menang demi menyelamatkan rakyat dan negara.
“Masuk PRU untuk menang dan pimpin kerajaan baru. Untuk menang dan bukan jadi pembangkang,” katanya.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu memberi amaran bahawa membiarkan kerajaan BN – PN kekal memerintah untuk sepenggal lagi akan menjadi malapetaka besar buat negara dan rakyat.
“Membiarkan kerajaan sekarang berkuasa sepenggal dan menunggu PRU ke 16 untuk ambil alih adalah satu malapetaka besar dan kerosakannya tidak terubat lagi.
“Kewajipan kita bersiap sedia dengan semua ramuan dan prasyarat untuk menjamin kemenangan.
“Kongres akan mengikhtiarkan usaha ke arah itu dengan arah tuju diletakkan oleh presiden,” katanya.
Saifuddin juga berkata Kongres Nasional kali ini diliput oleh 250 agensi media dalam dan luar negara serta menerima lebih 10 perwakilan dari kedutaan asing.