Kembali bersatu, jangan teruskan persaingan sebelum Pemilihan KEADILAN

 

Anggota KEADILAN terutama pimpinan dari hierarki atasan mahu pun di peringkat paling bawah dilarang sama sekali meneruskan persaingan politik sebagaimana sebelum Pemilihan KEADILAN 2022.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu anggota ambil sikap seperti bidalan Melayu 'Biduk berlalu kiambang bertaut' untuk bersatu kembali menghadapi pertempuran sengit menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


"Sebagai presiden saya akan pastikan KEADILAN kekal utuh, bersatu, inklusif merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat.


"Saya selaku presiden tidak akan maafkan saudara di Ranting, Cabang, AMK atau wanita yang memilih untuk meneruskan persaingan sebelum pemilihan parti.


"Kalau terus berlaku begitu, dijamin tidak ada watikah (calon pilihan raya) yang akan sampai kepada saudara," katanya.


Anwar juga memberi peringatan agar gerak kerja menuju PRU 15 segera dilakukan sebaik sahaja kongres selesai kerana pembubaran Parlimen boleh berlaku pada bila bila masa.


"Sejenak lagi gendang akan dipalu menandakan bermulanya pertarungan sengit 2 raksaksa, kita dan parti kerajaan.


"Gerombolan yang akan kekalkan sistem yang berselaput rasuah bertembung saf yang bertekad meletakkan agenda menjulang rakyat Malaysia," katanya.


Selain itu, presiden juga mahu Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita KEADILAN perlu diberi lebih banyak ruang untuk melaksanakan aktiviti mereka, teruma di negeri negeri Pakatan Harapan.


"Saya sebut tentang kemaraan dua tokoh baru dalam mengemudi pemuda dan wanita.


"Saya meletakkan harapan supaya mereka dalam badan yang lebih autonomi, pemuda dan wanita menggerakkan semula kegiatan (selepas Langkah Sheraton)


"Tanggungjawab ketua cabang, ranting, MB mesti memberi ruang yang lebih kepada mereka. Kalau tidak kita tidak akan dapat catat keadaan yang lebih menyakinkan," katanya lagi.