Perjuangan Wanita PKR masih panjang – Fuziah
Perjuangan memartabatkan wanita masih panjang biar pun telah banyak pencapaian yang dilakukan Wanita KEADILAN.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh, wanita masih perlu memperjuangkan belanjawan pemberdayaan wanita pada setiap kali kerajaan membentangkan bajet tahunan yang seharusnya telah mempunyai peruntukan tahunan yang tetap.
Begitu juga dalam pengurusan kerjaya, katanya, wanita masih ketinggalan berbanding lelaki.
“Statistik peratusan Wanita dalam pasaran pekerjaan pada suku kedua 2021 hanyalah 38.9%, jauh ketinggalan daripada peratusan kaum lelaki yang bekerja sedangkan wanita merupakan kurang lebih 48% dari populasi penduduk di Malaysia mengikut Laporan Perangkaan Demografi bagi suku keempat 2020.
“Mengapa demikian? Kajian membuktikan di antara faktor penyumbang adalah adalah kerana ramai di antara wanita lepasan universiti memilih untuk berhenti bekerja apabila berkahwin dan berkeluarga demi menjamin kesejahteraan anak-anak.
“Dianggarkan sehingga Oktober 2019 lebih 2 juta wanita di negara ini tidak bekerja dalam sektor formal kerana memilih untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga meskipun mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.
“Satu inisiatif yang harus dipuji dan dibanggakan ketika Kerajaan Pusat Pakatan Harapan ialah Belanjawan 2020 yang telah memperkenalkan enam insentif bagi Wanita. Salah satu dinamakan insentif #WanitaKerja yang menggalakkan semula wanita yang berusia 30-50 tahun untuk kembali bekerja setelah berhenti selama lebih setahun,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Wanita KEADILAN, semalam.
Begitu juga, kata Fuziah, insentif kerajaan PH ketika itu dengan peruntukan RM30 juta untuk menyediakan kemudahan penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja yang telah berjaya meningkatkan wanita kembali bekerja.
Selain itu, beliau juga membawa perjuangan wanita yang masih belum selesai membela kaum hawa yang teraniaya dalam krisis rumahtangga.
“Sistem Mahkamah Syariah sebagai contoh, seorang ibu dipenjarakan hanya kerana dikatakan tidak memenuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah kuala Lumpur berhubung tarikh lawatan tiga orang anaknya dengan bekas suaminya yang merupakan orang kenamaan.
“Di mahkamah sivil pula, kewarganegaraan boleh diwariskan oleh bapa warganegara kepada anak namun tidak ibu warganegara kepada anak? Mengapa ini masih berlaku?
“Tidak cukup dengan itu, kerajaan sepertinya tidak mempunya keazaman politik untuk menggubal undang-undang yang melindungi wanita. Akta Gangguan Seksual sehingga sekarang tidak dibentang dan diluluskan di dalam Parlimen. Isu Perkawinan Anak Perempuan di bawah umur 18 tahun juga menemui jalan buntu apabila hal-hal Perkawinan dan Cerai Islam yang diletakkan di bawah jurisdiksi Mahkamah Syariah Negeri tidak selari dengan Mahkamah Sivil. Sepertinya maruah keluarga dan masyarakat lebih awliya berbanding kemandirian, kehidupan dan hak seorang kanak-kanak perempuan,” kayanya.
Ahli Parlimen Kuantan itu juga membawakan isu mengupayakan wanita ibu tunggal sebagai Ketua Isi Rumah (KIR) yang mengalami pelbagai cabaran membesarkan anak anak tetapi tidak dibantu sepenuhnya oleh kerajaan.
“Istilah ibu tunggal tidak lagi tepat untuk mencerminkan keadaan wanita sebagai ketua isi rumah.
“Satu ketika dahulu istilah ibu tunggal di gunakan bagi mereka yang kematian suami ataupun sudah bercerai. Kemudian timbul pula istilah ibu tinggal yang mencerminkan keadaan wanita sebagai ketua pencari rezeki yang suaminya tidak meninggal atau tidak bercerai.
“Akan tetapi istilah yang lebih tepat kita gunakan pada hari ini ialah wanita ketua isi rumah kerana ada juga golongan wanita yang terpaksa menjadi ketua keluarga keluar mencari rezeki di dalam keadaan suami mereka terlantar sakit dan tidak boleh bekerja,” katanya.
Ketua Wanita KEADILAN itu juga menyentuh kegagalan kerajaan membela nasib wanita pasca Covid 19 yang mengalami tekanan ekonomi
“Setahun telah berlalu, Malaysia kini sudah masuk ke fasa endemik Covid, ekonomi mula menampakkan pemulihan tetapi Wanita selaku Ketua Isi Rumah (KRI) akibat kematian suami oleh Covid masih belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Kerajaan seharusnya galak memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru seperti Geran Keluarga Tunggal kepada sejumlah 50 keluarga berjumlah RM1000 sehingga RM10,000 maksimum.
“Tanggungjawab ini tidak harus dipikul oleh NGO seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), pihak swasta atau syarikat korporat semata mata, namun kerajaan perlu lebih inovatif untuk membantu mereka yang terkesan,” katanya lagi.