Jho Low didakwa tawar RM1.5 bilion kepada kerajaan untuk selesai semua tuduhan
PETALING JAYA: Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, didakwa menawarkan kepada kerajaan RM1.5 bilion sebagai penyelesaian bagi pertuduhan mahkamah dikenakan terhadapnya.
Menurut The Edge yang memetik sumber, cadangan itu dirunding dengan Putrajaya melalui bekas peguam negara, Apandi Ali.Bagaimanapun, kerajaan menolak cadangan terbabit.
Jho Low dituduh menggelapkan wang daripada 1MDB, kini berdepan saman USD3.78 bilion (hampir RM15.85 bilion) difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya.Dipercayai, Jho Low menggunakan khidmat Apandi mewakilinya dalam perundingan dengan kerajaan.
Bagaimanapun, Apandi tidak memberi maklum balas kepada The Edge berhubung dakwaan itu.
Apandi dilantik sebagai peguam negara, pada 2015, di bawah pemerintahan Najib Razak, sebelum khidmatnya ditamatkan, pada Jun 2018, susulan peralihan kuasa kerajaan pusat kepada Pakatan Harapan.
Beliau menyaman Putrajaya sebanyak RM2.23 juta berhubung penamatan khidmatnya dan pada Apr lalu, penyelesaian berhubung perkara itu dicapai.
Low dikatakan orang kepercayaan Najib, yang mana bekas perdana menteri itu disabit bersalah dalam perbicaraan SRC International dan sedang berdepan perbicaraan bagi lebih 25 pertuduhan berhubung dakwaan salah guna dana 1MDB.