UMNO sedia akur keputusan RoS usul tangguh pemilihan ditolak
Astro Awani
Julai 16, 2022
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekiranya permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, parti akan mengadakan pemilihan berkenaan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO akan patuh kepada arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sekiranya diputuskan perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan, lapor portal Berita Harian.
Timbalan Presiden UMNO itu dilaporkan berkata sekiranya permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, parti akan mengadakan pemilihan berkenaan seiring mesyuarat dijadualkan pada hujung November.
Jika RoS tidak luluskan, mesyuarat juga akan diadakan seperti dijadualkan dan akan ada pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat," jelas Mohamad.
Terdahulu RoS memaklumkan keputusan mengenai pindaan perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan adalah pada 16 Julai (Sabtu).
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Usul pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan.
Notis pindaan perlembagaan itu kemudian dikemuka kepada RoS pada 17 Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu memberi jaminan bahawa sebarang keputusan RoS dibuat secara bebas.
Malah wakil Bersatu dalam kabinet itu juga menegaskan beliau tidak mengetahui mengenai keputusan permohonan pindaan itu.