Setakat artikel ini ditulis, jam 10.45 malam 16 Julai 2022, Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS masih belum lagi memberikan keputusannya berhubung cadangan pindaan perlembagaan UMNO.
Ini bertentangan dengan janji RoS sebelum ini bahawa mereka akan memaklumkan keputusan sama ada cadangan pindaan perlembagaan UMNO itu diluluskan atau ditolak selewat-lewatnya pada 16 Julai ini.
Tak tahulah jika selepas ini, sebelum 12.00 tengah malam nanti, RoS tiba-tiba memaklumkan keputusannya itu.
Jika demikian, memang kira hebatlah RoS ini – siang malam berkhidmat untuk negara.
Tapi, hari ini adalah hari Sabtu dan esok, 17 Julai pula ialah hari Ahad, sekiranya Isnin baru RoS mahu mengumumkan keputusannya, ia bermakna sudah melebihi tempoh 60 hari sebagaimana itulah tempoh yang ditetapkan.
PAU Khas UMNO untuk meminda perlembagaan dulu diadakan pada 15 Mei dan surat kepada RoS oleh Setiausaha Agung UMNO dikatakan telah dihantar pada 17 Mei.
Jadi, 16 Julai atau hari ini adalah tempoh yang tepat selama 60 hari.
Persoalannya di sini, selain mungkir janji macam kebiasaan orang politik, kenapa RoS begitu lembab dan perlahan dalam membuat kerja?
Mengapa dalam membuat keputusan yang hanya ada dua pilihan – DILULUS atau DITOLAK – perlu mengambil masa begitu lama?
Apa yang RoS susah sangat nak buat keputusan?
Bukankah peraturan sudah ada iaitu jika UMNO telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan, maka permohonan itu hendaklah diluluskan tanpa sebarang syarat?
Sebaliknya jika ada syarat yang tidak dipenuhi, tolak sajalah?
Apa yang susah sangat?
Yang penting, sebagai jentera kerajaan, keputusan mesti dibuat dan diberitahu kepada pihak yang memohon.
Janganlah biarkan perkara ini tergantung dan membuatkan pemohon tertunggu-tunggu sehingga menyusahkan mereka.
Dalam hal ini, barangkali kerana bossn menunggu begitu lama, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sampai mengingatkan RoS yang dibawah kendalian KDN bahawa Perdana Menteri lebih besar daripada mereka.
Kalau kata dalam tempoh 60 hari keputusan mesti dimaklumkan, tunaikanlah janji tersebut, malah jika lebih cepat diberitahu tentu ia lebih baik lagi.
Ia bukan saja menggambarkan jentera kerajaan cekap dalam menjalankan tugas, malah tidak menyusahkan rakyat sebagai pembayar cukai yang sebahagian daripadanya adalah untuk membayar gaji penjawat awam, termasuk kakitangan RoS sendiri. – ShahbudinHusin 16/07/2022.