Tolak khemah besar bukan tolak semua mahu berkerjasama - Rafizi

 

Pertelingkahan sama ada perlukah khemah besar atau tidak telah mewarnai naratif berkempen antara dua kem sepanjang Pemilihan KEADILAN 2022.


Bagaimanapun dengan pengakuan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli dalam sidang media tengah hari tadi bahawa khemah besar bukan bermakna menolak semua pihak yang ingin bersekutu, maka strategi pilihan raya KEADILAN semakin jelas hala tujunya.


Menurut Rafizi, parti politik lain yang mempunyai prinsip sama menentang BN boleh dipertimbangkan asalkan perjuangan mereka selari dengan KEADILAN.


Beliau menjawab ketika wartawan bertanya apakah akan wujud perbezaan pendekatannya dan Anwar dalam isu kerjasama politik.


"Saya tak rasa ada perbezaan seperti digembar gemburkan.


"Hari ini KEADILAN telah menyatakan bahawa kita akan memperkukuhkan dari segi dasar atau polisi. Kalau ada di kalangan tertentu yang mereka juga menolak Umno - BN, mereka tidak terpalit rasuah dan ada nilai nilai tambah, sudah tentu itu boleh dibincang (sebagai sekutu).


"Namun bukan (kerjasama) itu menjadi strategi yang utama (pilihan raya). Strateginya kita sebagai Pakatan Harapan, KEADILAN sebagai tulang belakang memperkukuh parti, mencari jalan penyelesaian (masalah rakyat), membuat penawaran dan kalau ada perti lain yang mereka mahu kerjasama, mereka tertakluk kepada ini (terima reformasi sistem)," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi jelas menolak amalan kerjasama lepas bersama pasukan Tun Mahathir apabila KEADILAN terlalu banyak berkompromi tetapi akhirnya kerjasama itu dihancurkan oleh parti Bersatu.


Kerjasama kali ini, kata Rafizi, akan lebih tertumpu kepada soal dasar dan pelaksanaan agenda rakyat.


"InshaAllah akan mengelakkan pengalaman kita yang lepas, sehingga kita terpaksa berkompromi beberapa perkara dan akhirnya bila banyak rundingan itu (berkisar) siapa dapat apa, kerusi, jawatan.


"Ia tidak pergi ke soal dasar, soal pelaksanaan (agenda rakyat).


"Jelas mana mana pihak yang merasakan mahu kerjasama untuk melawan BN, mereka juga faham (kehendak PH). Itu akan memudahkan usaha kita masuk pilihan raya," katanya lagi.