Ketika rakyat dihimpit inflasi, harga makanan mahal serta kos sara hidup membebankan, rakyat dihidangkan juga dengan ‘gerak-geri’ kerajaan ‘melayan’ pelbagai gelagat dan karenah politik. Soal timbalan perdana menteri lah, siapa bakal mengisi jawatan yang telah ‘dijanjikan’ itu, soal perjanjian dimeterai di belakang pimpinan lah, soal bila nak buat pilihan raya umum, ancaman Pelan B rancangan Umno. Banyak lagilah dalam senarai yang panjang.
Tiba-tiba timbul berita (laporan Financial Times, akhbar United Kingdom yang berpengaruh) mengatakan waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan. Ini menyentak jika tidak menakutkan kita. Jika Malaysia diibarat sedang berdiri atas permaidani, permaidani itu ditarik dari bawah. Paling tidak ia bikin gelabah, jika tidak jatuh tersungkur mahupun terlentang.
Sekarang barulah kita tahu rampasan ke atas Petronas Azerbaijan dan Petronas South Caucasus adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 (lama tu) oleh waris kesultanan Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Apabila Sabah ‘dilepaskan’ oleh British untuk menyertai persekutuan Malaysia pada 1963, sekali gus beban bayaran itu dipikul Malaysia. Persetujuan dikatakan tercapai bagi Malaysia membayar pampasan merupakan pembayaran tahunan berjumlah RM5,300 setahun.
Ini dilakukan sehingga insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013 apabila Malaysia membuat keputusan menghentikan pembayaran pada tahun itu sebagai ‘tindak balas’.
Pemberhentian pembayaran menyaksikan apa yang mulanya RM5,300 setahun menjadi tuntutan berjumlah RM62.59 bilion. Dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” terbitan 2021, bekas Peguam Negara Tommy Thomas menulis “walaupun tiada bukti mengaitkan waris sultan Sulu (yang menerima wang tahunan dari Malaysia untuk sekian lama) dengan pencerobohan Lahad Datu pada 2013, Malaysia tetap menghentikan pembayaran kepada mereka.”
Lantas Thomas memberi amaran bahawa tindakan berkenaan berisiko memaksa Putrajaya membayar harga cukup “mahal”.
Sekarang timbul persoalan siapa di pihak Malaysia yang cuai dan leka. Apa yang terjadi dan mengapa ia boleh terjadi? Terjadilah tuduh-menuduh – menuding jari.
Siapa yang ‘bersalah’? Kerajaan BN pimpinan Najib Razak kah? Kerana pemberhentian pampasan RM5,300 dilaksanakan pada 2013 semasa Najib perdana menteri. Atau kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih pemerintahan pada 2018? Atau kerajaan Perikatan Nasional yang menyusuli selepas itu?
Yang pasti kerajaan sekarang pimpinan Ismail Sabri Yaakob mendapati diri mereka terpaksa jawab kerana rampasan aset Petronas di Azerbaijan berlaku ketika mereka memerintah. Ini tidak dapat dielakkan. Persoalan utama “didn’t they see what’s coming?” Apakah kerajaan Ismail tidak nampak apa yang bakal menjelma?
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mahu isu ini dibahas di Parlimen (yang dijadual bersidang esok 18 Julai 2022 hingga awal Ogos) dan dijawab Perdana Menteri. Belum ada respons kerajaan setakat ini.
Namun kata Ismail pada 13 Julai lalu , Petronas akan keluarkan kenyataan. Sememangya Petronas ada mengeluarkan kenyataan sehari sebelum itu untuk mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya sudah menerima notis “Saisie –arret” pada 11 Julai 2022.
(Menurut pakar perundangan “saisie-arret” bermaksud tindakan rampasan bagi mendapatkan jumlah penghakiman atau keputusan (award) timbang tara yang diperoleh).
Namun kata Petronas, kedua dua-anak syarikatnya itu “telah melupuskan ke semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan (repatriated) dengan wajarnya”. Maknanya apa? Sudah dijual terlebih dahulu? Tidak ada huraian Petronas dengan menggunakan bahasa biasa ataupun bahasa mudah difahami. Maka terpulang interpretasi masing-masing.
Bagaimanapun Petronas menjelaskan ia “menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini”.
Diucapkan syabas dan semoga berjaya kepada Petronas kerana bertekad mahu “mempertahankan kedudukan” meskipun kata-kata bersemangat sedemikian memang dijangkakan.
Pada hari laporan Financial Times disiarkan 12 Julai 2022, FMT menghubungi Peguam Negara Idrus Harun untuk mendapatkan reaksinya. Kata beliau (ketika itu) kepada FMT: “AGC (Jabatan Peguam Negara) telah dimaklumkan dan sedang meneliti perkara ini”. Bagi saya kenyataan ringkas begitu tidak atau (menggunakan bahasa lembut) kurang menyakinkan.
Pada 15 Julai lalu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin menggesa kerajaan khususnya Pejabat Peguam Negara tampil memberi penjelasan rasmi bagi “menjernihkan keadaan”.
Kata beliau pelbagai perspektif mengenai isu ini telah disuarakan pihak dalam kerajaan mahupun pembangkang, – namun “tidak pasti penjelasan mana yang harus dipegang”. Lantas katanya “rakyat keliru”. Saya setuju.
Namun, isu ini membabitkan kedaulatan negara, bukan “sekadar” buat rakyat keliru. Difahamkan kesultanan Sulu boleh merampas aset negara di 167 negara. Ini amat menakutkan.
Ingin saya menambah, apa yang dihadapi bukan hanya membabitkan Petronas. Isu pokok ialah masalah dengan waris kesultanan Sulu itu sendiri dan tuntutannya. Ini masalah besar yang mesti diselesaikan secepat mungkin “once and for all”.
Isu tuntutan mereka sudah terlalu lama “dibiar” berlanjutan. “Sweeping it under the carpet” dan meremehkannya selain berharap ia akan lenyap bukan caranya.
Kerajaan tahu semua itu. Respon Jemaah Menteri ialah menubuhkan satu (lagi) pasukan khas bagi “meneliti, memantau serta merangka tindakan bagi menangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia”.
Pasukan dianggotai Menteri Luar Saifuddin Abdullah, peguam negara dan pakar pakar berkaitan timbang tara antarabangsa. Pasukan khas ini diketuai Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal Parlimen dan Undang-undang.
Kata wartawan veteran A Kadir Jasin menerusi hantaran di Facebook: “Lagi pasukan khas ditubuhkan. Kali ini pasal tuntutan Sulu pula. Menteri 32 orang tu buat apa?” Angka 32 merujuk keanggotaan Kabinet Ismail. Begitu ramai. Betul juga kata Kadir.
Namun diharap kali ini pasukan khas itu berjaya. Demi Malaysia. Apa pun, ada logiknya pendapat P Ramasamy pemimpin DAP bahawa isu tuntutan waris sultan Sulu wajar ditangani suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan bukannya ‘pasukan khas’. Jelas beliau sependapat dengan orang kuat Umno, Khaled Nordin.
Tak kira RCI atau pasukan khas – carilah penyelesaian kerana hakikatnya isu tuntutan ini seperti dikatakan tadi sudah lama menghantui negara. Cukup-cukuplah dengan masalah yang sedang kita hadapi – mana masalah ekonomi tak stabil, mana keadaan politik tak stabil. Macam-macam hal. Alahai.