KEADILAN harus melupakan semua pasukan ketika kempen Pemilihan KEADILAN 2022 lalu kerana sebaik sahaja tiba penghujung Julai ini maka Memorandum Kerjasama Pakatan Harapan dengan Kerajaan Persekutuan berakhir dan Parlimen boleh dibubarkan pada bila bila masa.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, pasukan KEADILAN perlu dipastikan kukuh menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
"Dari saat kita keluar dari kongres ini tidak ada lagi cai itu ini yang ada hanya team KEADILAN.
"Untuk pastikan team kukuh, kita perlu bersama berikan sokongan kepada pimpinan yang baharu. Titik bengek tak perlu ada, nak sebut dalam WhatsApp sehingga tengah malam, screenshot dan dan sebar.
"Saya cukup terkilan ada antara kita yang buat report polis, ROS. Kenapa beri peluang kepada mereka, serahkan tengkuk kita kepada musuh. Kita tahu mereka risau dengan adanya Anwar dan Rafizi.
"Ini adalah kekuatan kita yang paling kuat. Yang boleh menyiapsediakan KEADILAN menerajui Putrajaya," katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN kali ke 16.
Selain itu, Fahmi juga mengingatkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu dan Pengerusi Lembaga Disiplin perlu mengambil tindakan tegas terhadap unsur yang cuba melemahkan parti.
"Dalam MPP yang baru lembaga disiplin tidak boleh duduk diam. Mereka yang terlibat yang membenarkan parti diserang, mereka yang mengadu domba, fitnah terhadap pimpinan mereka perlu dikenakan tindakan disiplin.
"Yang penting kita menang, kita kalah, rakyat tidak tengok jawatan kita, rakyat mahu tahu khidmat kita," katanya
Fahmi mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti kerana melantik beliau sebagai Pengarah Komunikasi sejak 2013 dan merupakan penyandang jawatan tersebut yang paling lama dalam sejarah KEADILAN.