SEKAT RAFIZI TIDAK KENA DENGAN PKR SEBAGAI PARTI REFORMASI

 

Sekiranya pindaan di hari terakhir Kongres Nasional PKR pagi ini, sebagaimana yang telah tersebar luas sejak malam tadi yang memperlihatkan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli ditiadakan daripada memberi ucapan penggulungan adalah benar dan sahih, ini adalah sesuatu yang malang dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang menjunjung reformasi.

Selain Rafizi ditiadakan daripada berucap sepertimana jadual asal, empat Naib Presiden yang menang baru-baru ini juga menerima nasib yang sama.

Tetapi sudah tentu tujuan utama pindaan itu ialah untuk menyekat Rafizi.

Hanya Ketua AMK, Adam Adli dan Ketua Wanita, Fadhlina Sidek diberi ruang menyampaikan ucapan sebelum Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR menyampaikan ucapan penggulungannya.

Apakah Adam dan Fadhlina dibenarkan berucap kepada mereka calon pilihan Presiden ketika bertanding sebelum ini?

Andai kata Fahmi Zainol dan Rodziah Ismail yang menang sebagai Ketua AMK dan Ketua Wanita, apakah mereka akan diberi peluang berucap?

Tidak dinafikan, antara keterujaan perwakilan ke Kongres PKR kali ini ialah untuk mendengar ucapan penggulungan Rafizi yang sejak beliau mengumumkan kembali ke pentas politik, bertanding sebagai Timbalan Presiden dan seterusnya menang jawatan itu, didapati telah memberi nafas segar kepada parti untuk terus bergerak ke hadapan memenangi PRU15 akan datang.

Amat dinanti-nantikan sebenarnya penggulungan beliau untuk perwakilan mendengar sendiri ucapannya yang diharapkan mampu menyuntik semangat tambahan setelah pulang ke cabang masing-masing.

Soalnya, kenapa pindaan kepada aturcara hari ini dilakukan?

Apakah ia atas kehendak Anwar setelah Rafizi melontarkan kritikan terhadapnya semalam atau semua ini kerja-kerja penasihat di sekeling Presiden?

Kenapa takut dengan kritikan dan keberadaan Rafizi?

Bukankah Anwar selalu mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PKR dengan kata-kata azimatnya – jika takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan?

Tetapi, kenapa tiba-tiba jadi takut dengan Rafizi?

Apakah Rafizi lebih menggerunkan daripada Tun Mahathir Mohamad?

Oleh kerana Rafizi menang dengan majoriti yang besar dalam pemilihan baru-baru ini, menafikannya daripada berucap hanya mengundang lebih banyak masalah, khusus kepada Anwar sendiri.

Meski ia mungkin kerja urusetia, tetapi Anwar sebagai Presiden tidak harus membenarkan ini berlaku kerana ia bertentangan dengan semangat reformasi yang didukung oleh PKR sendiri.

Membenarkan semua ini berlaku hanya memperlihatkan PKR tidak ubah seperti parti salin kulit kepada UMNO kerana sebelum ini hanya UMNO yang selalu menyekat pemimpinnya yang tak sebulu daripada berucap di Perhimpunan Agung parti itu.

Tambahan lagi, sejak kebelakangan ini juga Anwar selalu memberi pesan dengan kata-kata agar dirangkul semua kekuatan untuk menuju kemenangan, maka perkara itu mesti dibuktikan dengan perbuatan.

Kata-kata memberahikan – kita perlu merangkul seluruh kekuatan jika inginkan kemenangan – tetapi tidak disertai amalan, sebaliknya hanya sekadar hiasan di bibir atau dinding FB semata-mata tidak mungkin mampu membawa PKR ke mana-mana.

Untuk itu, belum terlambat untuk Anwar berbuat sesuatu bagi mengembalikan aturcara asal di penutup kongres pagi ini dan membenarkan semua pemenang jawatan utama menyampaikan ucapannya, jika tidak, dibimbangi ketika beliau berucap sebelum tengahari nanti, mungkin lebih banyak kerusi daripada orang yang tinggal dalam dewan. – ShahbudinHusin 17/07/2022.