Ulang tahun 23, kembalikan kekuatan parti
KEADILAN telah melalui dua dekad perjuangan penuh ranjau duri di samping kejayaan.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul, parti yang ditubuhkan pada 4 April 1999 itu hari ini genap 23 tahun umurnya namun perlu diperkasakan untuk menempuh perjuangan berdekad dekad ke hadapan.
“KEADILAN ditubuhkan untuk membela rakyat berasaskan prinsip keadilan tanpa mengira bangsa, agama serta kaum. KEADILAN berjaya membuktikan kita adalah parti masyarakat berbilang kaum terbesar yang diterima oleh rakyat.
“Syukur, KEADILAN kini mempunyai keanggotaan melebihi 1 juta. Disebalik ujian dan siri pengkhianatan yang menimpa tetapi sokongan rakyat pada KEADILAN tidak sedikit pun pudar.
“Kekuatan KEADILAN didorong oleh sokongan dan dokongan daripada semua pihak. Tidak ada mana-mana pihak pun yang tercicir daripada memainkan peranan masing-masing untuk memastikan KEADILAN menjadi sebuah parti yang kekal utuh dan relevan.
Dalam keadaan sukar mahupun senang, kita tetap bersama. Mari kita mantapkan dan bina semula parti serta rapatkan saf supaya kita boleh kembali menjadi lebih kuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani yang merupakan salah seorang pengasas parti itu, tiada siapa sangka KEADILAN akan pergi jauh selepas Pilihan Raya Umum 1999.
Namun dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah, KEADILAN membuktikan parti itu mampu menakluk Malaysia.
“Alhamdulillah, sudah 23 tahun KEADILAN meniti ranjau perjuangan. KEADILAN tetap kekal utuh dan berdaya tahan walaupun diuji dengan segala macam ujian.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta semua pihak atas segala jasa, pengorbanan, keringat, darah dan air mata dalam menubuhkan parti serta untuk memastikan survival parti terus kekal utuh.
“Kepada anggota-anggota parti, pejuang-pejuang parti, akar umbi serta penyokong dan rakyat sekalian, ucapan penghargaan juga kepada anda semua kerana terus kekal teguh setia menyokong dan membantu perjuangan KEADILAN dari dulu hingga kini.
“Marilah kita bersama-sama dukung aspirasi dan semangat idealisme ini. Teruskan membawa obor perjuangan. Perjuangan kita masih jauh dan belum selesai,” katanya lagi.