Anwar sahut cabaran debat Najib- Wahai Najib , sikit hamba tak takut,kalau berani turun gelanggang.


 

Cabaran berdebat yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak semalam disahut oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan sangat menunggu nunggu peluang berdebat melawan Najib kerana cabaran sama yang diutarakannya sebelum ini tidak pernah disambut oleh bekas Menteri Kewangan itu.



"Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



"Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu, di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.

"Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela," katanya.



Anwar memetik pantun Melayu dalam melunaskan cabaran debat tersebut:



'Tuan Puteri pergi ke Lukut,

Bawa pulang kacang panjang,

Sedikit pun hamba tak takut,

Kalau berani turun gelanggang'

"Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak," katanya lagi.



Semalam Najib yang sedang berpolemik menghadapi Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli di media sosial dalam mempertahankan idea menyelamatkan Sapura Energy Berhad menggunakan dana awam, mencabar Rafizi dan Anwar untuk berdebat dengannya secara 2 lawan 1.



Rafizi menyatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu dan akan menyampaikan undangan tersebut kepada Datuk Seri Anwar.

 

 

No comments: