SELAIN TIUP KEGHAIRAHAN AHLI-AHLI PARTI, RAFIZI JUGA SEMARAKKAN SEMANGAT RAKYAT HALANG NAJIB KEMBALI


 Rafizi Ramli baru saja mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan masih perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangannya dalam pemilihan parti itu pada Mei ini.

Namun, di sebalik baru mengumumkan bertanding dan belum menang itu, beliau sekurang-kurangnya telah memberi dua sumbangan besar setakat ini.

Pertama, kembalinya beliau aktif dan bertanding jawatan nombor dua dalam PKR itu telah berjaya membangkitkan keghairahan ahli-ahi parti terhadap perjuangan masa depan parti itu dan untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Dengan PKR dilihat lesu, kalah dalam beberapa PRN serta Anwar Ibrahim keseorangan, kembalinya Rafizi dianggap tepat pada waktunya untuk menyegarkan semula semangat reformasi dan perubahan yang nampak suam-suam kuku sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Di mana-mana ketika ini dapat dilihat ahli dan penyokong PKR begitu bersemangat, bukan saja untuk memenangkannya sebagai Timbalan Presiden agar lebih efektif membantu parti dan Anwar, malah untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Di tambah dengan memperkenalkan Ayuh Malaysia bagi tujuan merangsang lebih ramai pengundi atas pagar keluar mengundi dalam PRU15 nanti, secara jujurnya, PKR dan PH seperti baru diberi suntikan dos penggalak untuk mendepani perjuangan masa depannya.

Kedua, oleh kerana antara tujuan kembalinya Rafizi ialah untuk menangkis segala hujah songsang Najib Razak yang sejak hilang kuasa ini telah memposisikan dirinya sebagai pemimpin serba tahu dan ambil berat semua perkara, sedar tak sedar, melalui beberapa tindakannya menjawab hantaran media sosial bekas Perdana Menteri itu, rakyat Malaysia seolah-olah berjaya dibangunkan daripada tidur yang lena.

Selama ini, disebabkan Najib seumpama “Perdana Menteri FB” dan hampir semua hantarannya tidak ada sesiapa yang menyanggah dengan fakta dan logik yang boleh masuk ke kepala, beliau akhirnya berjaya meraih populariti, termasuk berdamping mengambil langkah populis berdamping rapat dengan mat-mat motor yang semasa beliau Perdana Menteri dulu, tidak pula golongan itu rajin disantuninya.

Melalui apa yang dilakukan Rafizi setakat ini, rakyat kini terbuka mata untuk melihat wajah sebenar Najib, tidak saja kedudukannya yang sudah dijatuhi bersalah, malah peribadi sebenarnya yang selalu menjawab tak tahu di mahkamah, tetapi sembangnya di FB seolah-olah semua perkara dia tahu.

Sekarang ini jelas dapat dilihat, sudah semakin ramai rakyat, khususnya nerizen yang kelihatan secara terbuka menyerang dan menghentam Najib di media kerana mereka kini sedar hipokrasinya yang sebenar.

Kalau sebelum ini jumlah mereka itu tidak seberapa, kini keberanian mereka sudah boleh dilihat dengan ketara.

Hakikatnya, Najib bukan saja perlu ditolak agar tidak kembali semua merangkul kuasa dalam negara berikutan banyak kerosakan telah dilakukannya, malah dalam UMNO pun beliau sebenarnya sudah wajar dibersarakan.

Dengan Ismail Sabri Yaakob yang berusia 62 tahun jadi Perdana Menteri sekarang ini, Najib yang sudah mencecah 70 tahun, atas apa pertimbangan sekali pun, tidak relevan lagi untuk dikembalikan.

Demi masa depannya, UMNO harus diterus dipimpin oleh generasi baru yang lebih muda dan bertenaga tanpa perlu menoleh lagi kepada pemimpin berusia dan tua.

Dalam hal ini, dengan kesedaran yang berjaya dibangkitkan oleh Rafizi untuk menolak Najib itu, UMNO secara umumnya patut berterima kasih kepada bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Jika Najib tidak dihalang dan Rafizi tidak memainkan peranannya, katalah beliau akhirnya berjaya menerajui semula UMNO, bayangkan betapa buruknya wajah parti itu di mata rakyat pada masa depan kerana ia seolah-olah parti yang usang, tidak maju ke depan dan begitu ketandusan pemimpin serta bakat-bakat baru yang berwibawa sehingga pemimpin tua yang ada rekod buruk yang menyebabkan BN hilang kuasa, kemudian pernah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah pun mahu dikitar semula.

Selain sumbangan pertama yang hanya terhad untuk manfaat PKR dan PH semata-mata, sumbangan kedua yang diserlahkan Rafizi bersama pengumuman kembali aktifnya semula itu harus kita sedar adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara ini.

Dengan itu, sekurangnya-kurangnya kita semua tidak keberatan untuk mendoakan kemenangannya sebagai Timbalan Presiden PKR. – ShahbudinHusin 04/03/2022.


No comments: