Rafizi bertegas Najib bertanggungjawab bayar CEO Sapura RM983 juta


Bekas perdana menteri, Najib Razak dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ‘berperang mulut’ berhubung masalah dihadapi Sapura Energy Bhd. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pertikaian antara Rafizi Ramli dan Najib Razak berhubung Sapura Energy Bhd berterusan, dengan naib presiden PKR itu bertegas bekas perdana menteri itu perlu bertanggungjawab terhadap RM983 juta yang dibayar kepada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu.

Rafizi berkata, walaupun Sapura bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, beliau masih bertanggungjawab sebagai pemegang amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan boleh membantah sebarang urusan yang merugikan PNB.

“Najib bertanggungjawab memastikan portfolio pelaburan PNB memberi pulangan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mendakwa Najib cuba “mencuci tangan” dengan memberi alasan perdana menteri atau menteri kewangan tiada kuasa dalam urusan syarikat swasta.

Rafizi berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan Najib bahawa Sapura bukan GLC sehingga 2019, oleh itu ia bukan di bawah bidang kuasanya ketika menjadi perdana menteri.

Najib bagaimanapun berhujah, dana simpanan awam seperti PNB akan melabur dalam bentuk ekuiti “ratusan atau ribuan” syarikat tersenarai awam di dalam dan luar negara.

Katanya, syarikat itu mempunyai lembaga pengarah untuk menjaga kepentingan syarikat dan rakyat untuk memantau pelaburan mereka.

“Takkan perdana menteri dan menteri kewangan nak pantau hal ehwal setiap syarikat tersenarai,” soalnya dalam catatan Facebook.

Terdahulu, Rafizi mendakwa CEO Sapura ketika itu menerima RM983 juta dalam pelbagai pembayaran dari 2009 hingga 2018, ketika Najib menjadi perdana menteri.


No comments: