Yang ramai kecam juga dalam kalangan IBU AYAH, katanya pergi
bukan guna duit Ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang
lebih pedih.
Duhai IBU AYAH, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang
pada anak-anak sampai Syurga dan berdoa untuk berkumpul disana. Bukankah kalian
yang selalu inginkan anak-anak selamat daripada bahaya dunia, jika mereka sakit
kalian tak tidur lena dan sanggup korban apa sahaja.
Tiada kasih sayang yang lebih tulus seorang Ibu Ayah melainkan
mereka berusaha dengan hati, perkataan dan tindakan untuk melindungi anak-anak
daripada melalui jalan yang salah dan terpesong daripada menuju ke Syurga.
Itulah bukti kasih sayang sejati.
Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan
berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya
dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada
penzinaan. Jika sebelum ini kita dihadapkan dengan fakta konsert M****** pun
dah jumpa banyak K***** bersepah bila waktu pagi ketika pihak yang membersih
kawasan menjalankan tugas.
Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun
asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan,namun suasana sangatlah
mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan, pasti akan
disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal. Bertemulah dengan kawan
baru, sekelip mata no. tel saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama
‘sporting’ IBU AYAH.
Iya, istilah jangan jaga tepi kain orang terus dilaungkan
walaupun kain tu dah terselak hingga membuka aib sendiri. Kita hanya ingin
tarik kain tu supaya aibnya juga terpelihara, kerana prihatin dan
tanggungjawab. Kami selaku pendakwah menanggung amanah yang akan dihisab kelak.
Saat melihat KEMUNGKARAN YANG DIBENARKAN SECARA TERBUKA OLEH PIHAK YANG TIDAK
BERTANGGUNGJAWAB. Adakah iman tidak bersuara, atau lesu juga bersama ayat
sangka baik,
“Alahai itu Justin Bieber je, itu sekadar hiburan je, bukan
selalu sekali sekala je, kadang-kadang remaja perlu diberi kebebasan nanti
memberontak, jika berdosa nanti taubatlaaa”
Tuan Puan,
Saat Arab Saudi Anjur konsert Riyadh Season ramai yang kecam dan
menginsafi bahawa itu adalah petanda akhir zaman, rasa terkejut kerana baru nak
melepasi Musibah Wabak, ingatkan menjadi lebih kuat Ibadat, tapi rupanya
Penjaga Tanah Suci membuka pintu Maksiat dan lain-lain.
Terlalu sedih, bila budaya ini sampai ke Tanah Air sendiri,
Malaysia yang dicintai, masing-masing boleh mengubah rasa itu kepada sesuatu
yang dianggap biasa, normalisasi sengaja buat maksiat lepas tu taubat telah
menjadi tipudaya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan. Istilah terlambat
bila berlaku sesuatu yang mudharat akan cuba dicantikkan juga dengan ayat
“adalah hikmah disebalik” ,
walaupun hakikatnya musibah itu sendiri dicari bukan diberi.
Allahu Akbar, kita tahu tiket dah habis pun terjual. Satu
konsert yang harganya sangat mahal begitu mendapat sambutan di Negara Islam
Malaysia. Selepas ini, nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul, atas nama
hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme. Terbentuk jelaslah
generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur
yang tamak.
Ini bukan doa atau sangka buruk, menulis daripada pengalaman
menguruskan kes masalah sosial remaja dan penyesalan Ibu Bapa. Janganlah
normalisasikan pendidikan, “bagi depa rasa dulu apa yang nak, esok dah jemu
depa berhentilah..”. Nauzubillah, bimbang Ibu Bapa dan anak tak sempat taubat
sebelum mati.
Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati
dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri
ini hina. Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang
berdiam.
Terima kasih semua yang memberikan sokongan dan doa, ini adalah
perjuangan kita, moga menjadi saksi dan catatan amal soleh kita bersama. Sayang
dan kasih sahabat semua kerana Allah dan Rasulullah. Di atas jalan ini kita
bertemu, semoga di Syurga Allah kita bersatu. Takbir, ALLAHU AKBAR .
حسبنا الله ونعم الوكيل
Asma’ binti Harun
2 Ramadhan 1443H