Nampaknya Umno yang mendahului persaingan meremajakan amalan dan pemikiran politik negara. Berkat kemenangan besar dalam PRN Johor 12 Mac lalu, ia mampu menawarkan khidmat sebuah EXCO muda dengan yakinnya.
Walhal yang banyak bercakap tentang sumbangan proses peremajaan politik ini ialah PKR yang menggariskannya sebagai satu agenda reformasi sejak penubuhannya kira-kira 23 tahun lalu.
Inisiatif ini langsung membuka peluang kepada Umno mengungguli pemikiran politik negara melalui eksperimen bagaimana orang muda mampu memimpin sebuah negeri maju di Malaysia.
Sekaligus peluang ini menjadikan Umno yang dilahirkan di Johor itu terus memenangi kepercayaan rakyat kerana berani melakukan ujikaji sebegini.
Hakikatnya ialah, komposisi kira-kira 70% ahli-ahli EXCO baru Johor yang berusia di bawah umur 40 tahun menepati cita-cita semua parti politik.
Ia adalah kemuncak perkembangan politik yang diperjuangkan baik parti politik kerajaan mahupun pembangkang kerana isu ini menjamin kesejahteraan negara.
Tugas yang menanti mereka sudah pasti sukar dan mencabar. Justeru mereka memerlukan motivasi tahap tertinggi dalam mengembangkan bakat kepemimpinan serta membina firasat politik yang lebih tajam dan bernas.
Memang isu ini sudah lama dijadikan modal kempen semua parti politik. Namun nampaknya Umno yang mendapat peluang mengembangkannya menjadi teras utama politik Malaysia.
Jika pasukan EXCO Onn Hafiz Ghazi ini mampu mencatat kecemerlangan untuk Johor, kebarangkalian Umno mengekalkan hak mentadbir negeri itu untuk beberapa pilihan raya akan datang adalah cerah.
Ia juga akan menjadi model untuk negeri-negeri lain menggunakan pendekatan yang sama. Ia juga akan membangkitkan selera anak muda mengambil bahagian lebih serius dalam aktiviti politik.
Bayangkanlah betapa rapuh statistik PRN Johor baru lalu apabila kira-kira 53% sahaja rakyat yang layak keluar mengundi berbuat demikian dan daripada jumlah itu cuma 23% memilih Umno-BN.
Namun kalau EXCO Onn Hafiz cemerlang sudah pasti ia akan membangkitkan selera anak muda lain menyarung jersi politik dan memperkukuh sumbangan orang muda kepada kemenangan masa depan.
Orang muda ada idealisme dan tenaga berpolitik. Dipupuk dengan nilai kepemimpinan Islam – sidiq ((benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan), dan fathonah (cerdik) – Umno boleh meninggalkan parti politik lain dalam saingan menarik minat orang muda berpolitik.
Lantas mereka perlu keyakinan diri yang tinggi dan menyemai benih integriti yang teguh demi menjadi pemimpin bersih, cekap dan amanah supaya boleh jadi obor bagi pemimpin muda di seluruh negara.
Sesungguhnya tugas yang mereka pikul bukan sahaja untuk memenuhi amanah rakyat tetapi demi kebebasan dan keluhuran usaha memberi perkhidmatan terbaik sebagai generasi politikus baru.
Sebenarnya, memang sudah lama bukan sahaja rakyat mengidam pasukan pemimpin yang bertenaga, berilmu, dan berintegriti untuk tampil membetulkan amalan politik bobrok yang merebak dalam pemikiran dan amalan politik negara.
Politik pasukan Onn Hafiz perlu disanitasi daripada virus politik rendah moral dan keji. Kesetiaan pada perjuangan mengkaliskan amalan keji seperti lompat parti dan rasuah.
Pemimpin muda lebih terbuka merangkul nilai anti-politik “cah keting” baik dalam mahu di luar parti. Asasnya, masyarakat boleh menegur dan memagari mereka daripada ketagihan mabuk kuasa.
Malah golongan pemimpin veteran pun yang masih mempunyai azam untuk mewujudkan iklim politik yang bersih dan adil memang mendambakan ada model luhur untuk menjayakan proses penyucian ini.
Pesan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa politik mesti menghindar dari kefahaman “yang menang mahu menang semua” perlu dijadikan pedoman politikus generasi baharu ini.
Jika mereka menghayati politik budiman begini bukan sahaja Umno malah semua parti yang meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan akan turut bangkit menggalakkan orang muda yang bertenaga memujuk segenap lapisan rakyat melaksanakan tugas demokrasinya.
Adalah diharapkan pasukan Onn Hafiz ini akan menterjemahkan lima ikhtiar atau manifesto Umno-BN menjadi kenyataan dan dapat diketengahkan sebagai bukti keluhuran parti itu berkhidmat.
Onn Hafiz dan pasukannya mungkin masih muda namun tanggungjawab mereka masih tetap sama – demi kesejahteraan rakyat: Keazaman ini telah dilafazkan cicit Onn Jaafar:
“Lima ikhtiar Barisan Nasional juga akan dilaksanakan dan jadi keutamaan kita. Teras kerajaan yang akan kita tekankan adalah bagi memastikan semua rakyat Johor tanpa kira agama dan latar belakang terbabit sama membangunkan Johor. Aspek kebajikan, pendidikan, ekonomi, dan kesihatan rakyat akan turut jadi fokus kerajaan Johor.”
Apabila proses pilihan raya diakui bersih dan luhur sudah pasti keyakinan rakyat terhadap politik dan orang politik akan meningkat.
Dalam kes Onn Hafiz nilai, amalan, dan pemikiran politik rakyat mungkin dapat disukat menjelang hujung Jun tahun ini apabila ia melengkapkan 100 hari perkhidmatan.
Sementara itu jiwailah dan jadikan pedoman peribahasa lama: “Genggam bara api biar sampai jadi arang”.
Bersatu, PKR, DAP, dan PAS serta parti politik lain perlu sematkan persoalan bersediakah mereka bersaing dengan Umno dan orang mudanya?